Subsidi bersasar guna sistem kad fleet, dimulakan dengan diesel – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggunakan sistem kad untuk menyalurkan subsidi bersasar.

Ini bagi memastikan hanya kumpulan atau industri yang berkelayakan sahaja akan mendapat manfaat daripadanya.

Kaedah itu mampu menjimatkan perbelanjaan subsidi di samping mengawal ketirisan yang merekodkan jumlah RM10 bilion pada tahun lalu akibat penyelewengan.

Langkah penyasaran subsidi tersebut adalah sebahagian daripada tindakan radikal yang digariskan melalui model reformasi ekonomi di bawah Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Lapor Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pada permulaan, sistem kad fleet akan dilaksanakan bagi kawalan diesel bersubsidi terutama kepada industri pengangkutan tertentu bagi mengurangkan risiko ketirisan dan penyelewengan bahan api itu.

Kaedah ini, kata beliau, mampu menjimatkan perbelanjaan subsidi di samping mengawal ketirisan yang merekodkan jumlah RM10 bilion pada tahun lalu akibat penyelewengan.

“Pada masa ini, di belakang tabir, pasukan dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang membangunkan satu program yang akan memperluaskan sektor-sektor awam termasuk pengangkutan dan sektor industri yang berkelayakan mendapat diesel subsidi ini melalui sistem kad.

“Pendekatan kita ambil sekarang ialah melebarkan pemberian subsidi itu kepada kumpulan layak melalui sistem kad supaya membolehkan pengesanan subsidi lebih baik, pada masa sama dapat mengurangkan risiko ketirisan,” katanya.

Mengikut rekod, semakan kerajaan menunjukkan penggunaan diesel melonjak 37.7 peratus iaitu 6.1 bilion liter dalam tahun 2019 (pra-Covid) kepada 8.4 bilion liter dalam tahun 2022 (pasca-Covid).

Sedangkan jumlah kenderaan berdaftar yang menggunakan diesel hanya meningkat 2.4 peratus iaitu dari 2.08 juta dalam tahun 2019 ke 2.13 juta pada tahun 2022.

Rafizi berkata, sistem kad ini akan dilaksanakan pada awal tahun depan dan kerajaan boleh mula ‘menarik’ semula subsidi diesel itu secara berkala apabila tempoh pelaksanaan mekanisme itu berjaya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan akan menyemak semula harga diesel dan skim subsidi itu bagi menutup jurang harga supaya tanggungan subsidi itu tidak terlalu tinggi sekali gus dapat menjimatkan subsidi pukal dan memastikan penyaluran bantuan itu dialihkan kepada penerima berkelayakan.

“Kerajaan bagaimanapun tidak bercadang memansuhkan terus subsidi diesel ini kerana sebarang langkah yang dibuat kena ambil kira kesan kepada masyarakat dan industri,” katanya.

Ditanya adakah mekanisme penggunaan sistem kad itu akan turut diperluaskan kepada subsidi petrol RON95, beliau berkata, pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat dari semasa ke semasa.

Katanya, Kementerian Ekonomi akan mengharmonikan semua keputusan dan langkah itu sebelum keputusan dasar dibuat dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan diserahkan keapda kementerian dan agensi berkaitan untuk dilaksanakan.

Dalam pada itu, Rafizi menjelaskan langkah penyasaran subsidi di bawah KSP adalah usaha mengenal pasti enjin pertumbuhan baharu dan melipatgandakan pertumbuhan ekonomi termasuk menyemak pemberian subsidi pukal kerana kerajaan perlu menanggung jumlah tinggi setiap tahun.

Pada tahun lalu, hampir RM80 bilion jumlah subsidi pukal perlu ditanggung, sedangkan ia membuka kepada penipuan dan penyelewengan.

“Diesel ini sepatutnya hanyalah kepada orang biasa yang menggunakan kenderaan biasa di pam stesen petrol. Tetapi yang banyak pakai diesel ini sebenarnya bukan orang biasa kerana berapa banyak kereta sekarang pakai diesel?

“Jadi akhirnya diesel dibeli dan diseleweng kerana yang beli kat pam kononnya untuk kereta dia tapi dia isi masuk dalam tong, lepas itu dia pergi jual kepada industri.

“Begitu juga RON95 ini banyak digunakan oleh mereka berpendapatan lebih tinggi berbanding kumpulan sasaran lain. Jika kita terus beri secara pukal seperti sekarang walaupun penyelewengan tidak seteruk diesel, namun, subsidi itu masih lagi sampai kepada orang yang tidak memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pensyasaran subsidi elektrik yang dimulakan sekarang sudah nampak kesannya dan kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM9 bilion berbanding perlu menanggung jumlah keseluruhan subsidi sehingga RM30 bilion pada tahun lalu.

“Kilang-kilang besar yang untung banyak guna elektrik tidak berhemah kerana elektik murah tetapi rakyat kena tanggung subsidi dia.

“Perkara-perkara ini tidak dibuat kerajaan sebelum ini. Kita akan buat dan sudah tentu ada kesan kepada rakyat. Ia ada risiko politik dan risiko itu tidak mahu diambil pentadbiran sebelum ini namun kesannya diwariskan kepada pentadbiran sekarang.

“Ia akan dijadikan isu untuk menyerang Kerajaan Perpaduan, bagi kami, KSP ini adalah satu tindakan paling bertangungjawab dan patriotik untuk negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat