Industri muzik kembali bernafas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Industri muzik tempatan kembali bernafas selepas kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi sektor kreatif, minggu lalu.

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) lega pengumuman itu membolehkan proses pemulihan industri muzik dilakukan secara beransur-ansur, mulai sekarang.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata persatuan menghargai usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) membolehkan pembukaan semula sektor industri kreatif negara.

“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, banyak projek rakaman lagu baharu dan produksi video muzik terpaksa ditunda.

“Selama tempoh ini, apa sahaja rakaman baharu dilakukan secara maya sama ada di rumah atau studio. Produksi video muzik juga terhad kepada penggambaran di studio menggunakan teknologi layar hijau,” katanya dalam kenyataan.

Rosmin berkata, penurunan mendadak jumlah rakaman muzik baharu mengurangkan banyak peluang pekerjaan.

“Ramai pengamal industri muzik bergantung sumber pendapatan kepada pelaburan berterusan dalam rakaman muzik baharu.

“Projek rakaman yang terhenti ketika PKP menyebabkan pengurangan pendapatan yang ketara bagi penulis lagu, penyanyi, pemuzik, penyusun muzik, penerbit, studio rakaman dan ramai lagi pengamal dalam ekosistem industri muzik.

“Selain itu, penutupan pusat hiburan menyebabkan penyanyi dan pemuzik tidak dapat memperoleh pendapatan daripada persembahan langsung mereka.

“Mereka jugalah yang paling teruk terkesan sepanjang tempoh PKP,” katanya.

 

Pengerusi RIM, Rosmin lega pengumuman kerajaan membolehkan proses pemulihan industri muzik dilakukan secara beransur-ansur, mulai sekarang.
Pengerusi RIM, Rosmin lega pengumuman kerajaan membolehkan proses pemulihan industri muzik dilakukan secara beransur-ansur, mulai sekarang.

 

Rosmin berkata, penganjur konsert, pemilik pusat karaoke dan pusat hiburan lain turut mengalami impak pengurangan pendapatan yang besar.

“Situasi ini amat memudaratkan bagi ramai pengamal industri muzik seperti yang kerap dipaparkan dalam media.

“Ada berita seorang penulis lagu veteran terpaksa mencari makanan di bawah projek Soup Kitchen untuk bertahan.

“Malah, ramai penyanyi dan pemuzik tempatan terpaksa menaikkan ‘bendera putih’ untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Rosmin berkata, melalui dana kecemasan RIM, persatuan dapat memberi bantuan kepada pengamal industri muzik yang menghadapi masalah kewangan.

“Namun, ini adalah bantuan jangka pendek. Sektor industri muzik perlu dibuka semula untuk membolehkan pengamal industri muzik meraih pendapatan.

“Alhamdulillah, industri muzik kini dibuka. Kami melihat masa depan yang lebih cerah.

“Sebagai badan muzik ‘de facto’ yang memperjuang, melindungi dan mendorong perkembangan industri muzik tempatan melalui pelbagai inisiatif, RIM akan terus main peranan.

“Kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua badan muzik dan agensi kerajaan untuk membantu dalam proses pemulihan dan pertumbuhan industri muzik tempatan,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat