Westlife kembali ke Kuala Lumpur, raikan 25 tahun bersama peminat Malaysia Januari 2027

Selepas lebih dua dekad menjadi antara kumpulan pop paling berpengaruh di dunia, Westlife sekali lagi memilih Malaysia sebagai sebahagian daripada jelajah dunia mereka. Berita yang pastinya menggembirakan peminat apabila kumpulan yang dianggotai Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily itu mengumumkan konsert Westlife 25: The Anniversary World Tour bakal berlangsung di Unifi Arena, Kuala Lumpur pada 14 Januari 2027.

Apa yang menjadikan pengumuman ini lebih istimewa ialah Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi pertama bagi siri jelajah Asia Tenggara 2027 sebelum mereka meneruskan persembahan ke Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Hong Kong. Pemilihan Malaysia sebagai pembuka tirai jelas membuktikan negara ini terus menjadi antara pasaran penting buat Westlife, selain memiliki kelompok peminat yang setia sejak penghujung era 1990-an.

Bagi ramai rakyat Malaysia, Westlife bukan sekadar sebuah kumpulan pop. Mereka merupakan sebahagian daripada memori zaman remaja dan dewasa. Lagu-lagu seperti Flying Without Wings, My Love, You Raise Me Up, Swear It Again dan Uptown Girl masih menjadi siulan sehingga hari ini, malah sering dimainkan pada majlis perkahwinan, acara rasmi dan pelbagai sambutan istimewa.

Konsert kali ini bukan sekadar sebuah persembahan nostalgia, sebaliknya menjadi simbol perjalanan panjang kumpulan tersebut sepanjang 25 tahun dalam industri muzik antarabangsa. Sepanjang tempoh itu, Westlife berjaya menjual lebih 55 juta album di seluruh dunia, mengumpul 36 album nombor satu, menghasilkan 14 single nombor satu di United Kingdom serta mencatat lebih tiga bilion penstriman digital. Pencapaian itu meletakkan mereka sebagai antara kumpulan pop paling berjaya dalam sejarah muzik moden.

Walaupun industri muzik berubah dengan begitu pantas, Westlife membuktikan bahawa lagu yang berkualiti dan hubungan erat bersama peminat masih menjadi kekuatan utama mereka. Sejak kembali aktif pada tahun 2019, kumpulan ini telah menjayakan lebih 200 konsert di 30 buah negara dengan jualan tiket yang memberangsangkan. Malah, jelajah Wild Dreams Tour sebelum ini sahaja berjaya menjual lebih 1.2 juta tiket di seluruh dunia.

Sempena ulang tahun ke-25, Westlife turut menghadiahkan peminat dengan album baharu berjudul 25 – The Ultimate Collection. Album tersebut menghimpunkan lagu-lagu ikonik yang telah membina nama mereka selain beberapa karya baharu yang memperlihatkan kematangan muzik kumpulan itu selepas lebih dua dekad berkarya.

Antara lagu baharu yang mendapat perhatian ialah Your Love Amazes Me, sebuah balada romantik yang mengekalkan identiti harmoni vokal Westlife sambil menampilkan sentuhan produksi moden. Lagu itu dihasilkan oleh Jamie Scott, Daniel Bryer dan Martin Hannah, nama-nama yang pernah bekerjasama dengan artis seperti Niall Horan dan One Direction.

Sebelum itu, mereka turut memperkenalkan Chariot, lagu ciptaan Ed Sheeran bersama Johnny McDaid dan Will Reynolds, selain diterbitkan oleh Steve Mac. Lagu berkenaan membawa mesej mengenai kasih sayang, keluarga dan penghargaan terhadap detik-detik penting dalam kehidupan, sekali gus menunjukkan Westlife masih mampu menghasilkan karya yang relevan dengan generasi hari ini.

Menurut Westlife, ulang tahun ke-25 ini membawa makna yang cukup besar buat mereka kerana ia menandakan satu perjalanan yang tidak pernah mereka bayangkan ketika kumpulan itu ditubuhkan pada tahun 1998.

“Kami tidak sangka perjalanan ini sudah mencecah 25 tahun. Sokongan daripada peminat di seluruh dunia sentiasa luar biasa. Dapat meraikannya melalui jelajah dunia, muzik baharu dan album istimewa menjadikan tahun ini sangat bermakna. Kami tidak sabar untuk bertemu semua peminat dan berkongsi detik istimewa ini bersama,” kata mereka.

Bagi peminat di Malaysia, konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik antarabangsa paling dinanti pada tahun hadapan. Selain menyaksikan persembahan lagu-lagu klasik yang membesarkan nama Westlife, penonton juga berpeluang menikmati karya-karya terbaharu yang melengkapkan perjalanan muzik mereka selama 25 tahun.

Jualan tiket bakal dibuka secara berperingkat dengan akses awal diberikan kepada pemegang kad Mastercard sebelum presale untuk ahli Live Nation. Jualan umum pula dijadualkan bermula pada 22 Julai menerusi platform GoLive Asia.

Dengan sambutan yang sentiasa luar biasa setiap kali mereka beraksi di Malaysia, tidak mustahil konsert kali ini turut mencipta sejarah tersendiri. Selepas 25 tahun menghiburkan jutaan peminat di seluruh dunia, Westlife membuktikan bahawa muzik mereka masih mempunyai tempat istimewa di hati pendengar merentasi generasi. Januari 2027 bakal menjadi malam yang mengimbau kenangan lama, sambil meraikan perjalanan sebuah kumpulan pop yang terus kekal relevan sehingga hari ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat