KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan bermula dengan penamaan calon pada hari Sabtu ,18 Julai ini mempunyai beberapa perbezaan ketara dengan PRN Johor baru-baru ini.
Menurut kenyataan bersama pengasas parti Bersama, persaingan di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah lebih sengit di Negeri Sembilan, termasuk faktor PH sebagai kerajaan negeri.
“Kedua, keputusan PRN Negeri Sembilan berkemungkinan mempengaruhi isu-isu lain yang terheret sama dengan pertembungan politik semasa, termasuk konflik yang melibatkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Mengambil kira isu-isu ini serta kekangan masa dan sumber, Bersama berpendapat adalah lebih strategik agar fokus 𝗕ersama beralih kepada PRN Melaka yang akan diadakan beberapa bulan dari sekarang.
“Oleh itu, Bersama tidak akan menyertai PRN Negeri Sembilan untuk memberi sepenuh tumpuan kepada PRN Melaka,” jelas kenyataan itu.
Menurut Bersama lagi, mesyuarat persediaan awal PRN Melaka akan diadakan pada hari Selasa, 21 Julai 2026 untuk mengenal pasti kerusi dan mula menyaring calon-calon, agar calon-calon dapat diumumkan lebih awal.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli Bersama dan sukarelawan yang berkobar-kobar bersedia digerakkan ke PRN Negeri Sembilan, walaupun penat di PRN Johor masih belum reda.
“Kami berharap tempoh masa yang lebih lama memberi ruang kepada Bersama masuk ke PRN Melaka dengan lebih bersedia, di samping pertimbangan-pertimbangan lain yang telah diambil kira.
“Selamat mengundi kepada pengundi-pengundi Negeri Sembilan, Insya-Allah kita akan berjumpa di Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak,” kata kenyataan Bersama yang ditandatangani Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab.



