Ahmad Shabery Cheek didakwa tolak sambung kontrak sebagai Pengerusi Felda

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, didakwa memilih untuk tidak meneruskan kontrak perkhidmatannya walaupun tawaran lanjutan telah dikemukakan sebelum tempoh lantikannya berakhir pada 30 Jun lalu.

Menurut sumber UMNO yang mengetahui perkara itu, tawaran menyambung perkhidmatan sebagai Pengerusi Felda telah diberikan kepada Ahmad Shabery sebelum kontraknya tamat.

Bagaimanapun, sumber berkenaan mendakwa Ahmad Shabery secara sukarela memohon agar surat tawaran tersebut dikembalikan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan meminta supaya keputusan mengenainya ditangguhkan atau jawatan itu diserahkan kepada individu lain yang difikirkan lebih sesuai.

“Datuk Seri Shabery memang sudah tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi Felda pada hujung Jun lalu. Tawaran sambung perkhidmatan juga telah diberikan sebelum tempoh khidmatnya tamat.

“Namun beliau secara ikhlas memohon supaya surat tawaran itu dikembalikan kepada PMO dan meminta sama ada ia ditangguhkan atau jawatan tersebut diberikan kepada sesiapa yang dirasakan layak,” kata sumber itu.

Menurut sumber sama, sebelum membuat keputusan berhubung tawaran tersebut, Ahmad Shabery terlebih dahulu mendapatkan pandangan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber itu mendakwa Ahmad Shabery berjumpa Ahmad Zahid bagi mendapatkan nasihat kerana menghormati kepimpinan parti sebelum membuat keputusan muktamad.

“Presiden adalah orang pertama yang beliau minta pandangan. Keputusan beliau bukan kerana mengejar kuasa atau jawatan, dan bukan juga kerana gentar. Apa yang dilakukan adalah berlandaskan prinsip parti serta rasa hormat yang perlu dizahirkan,” katanya.

Terdahulu, Felda dalam satu kenyataan memaklumkan tempoh perkhidmatan Ahmad Shabery sebagai Pengerusi Felda telah berakhir pada 30 Jun 2026.

Menurut Felda, sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau menerajui pelbagai inisiatif penting bagi menyokong agenda pengukuhan dan transformasi agensi itu, termasuk memperkukuh tadbir urus korporat, menjalin kerjasama strategik serta meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap Felda.

Felda turut merakamkan penghargaan atas jasa, sumbangan dan kepimpinan Ahmad Shabery sepanjang menerajui agensi berkenaan.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Ahmad Shabery atau Pejabat Perdana Menteri berhubung dakwaan bahawa beliau menolak tawaran penyambungan kontrak tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat