KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali memberi peringatan awal supaya parti-parti politik bersikap jujur sebelum menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Rafique menggesa parti-parti politik agar mengumumkan kerjasama sebelum PRU untuk memudahkan rakyat mengetahui siapa kawan dan siapa lawan.
“Untuk PRU akan datang, kita mesti paksa parti politik bersikap jujur. Kalau mahu bekerjasama, umumkan sebelum pilihan raya.
“Mengapa ini penting? Rakyat tahu apa mereka beli.Kita berhak tahu siapa kawan dan siapa lawan sebelum kita pangkah. Jangan bagi rakyat beli “kucing dalam karung”.
“Dasar negara lebih jelas: Jika sudah pakat awal, mereka boleh buat satu manifesto yang sama. Kerajaan hari ini kucar-kacir kerana masing-masing bawa kepala sendiri. Hari ini kata lain, esok buat lain.
“Tiada jual beli jawatan: Bila pakatan diumum awal, tiada lagi rundingan rahsia atau ugut-mengugut untuk dapat jawatan menteri selepas pilihan raya.Tidak lagi perlu guna agensi kerajaan atau pihak berkuasa picit dan tekan,” katanya.
Menurut Rafique, demokrasi ini hak rakyat, bukan hak ahli politik untuk main aci lut di belakang tabir.
“Kalau berani dan jujur, umumkan pakatan anda sebelum rakyat pergi mengundi.
“Jangan khianati undi rakyat lagi,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ramai yang percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim ada mandat penuh daripada rakyat.
Sedangkan kata Rafique, ini tidak betul dan ini satu khayalan.
“Dalam sistem pilihan raya kita, untuk jadi Perdana Menteri dan tadbir negara, sesebuah parti mesti menang sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen. Ini undang-undang.
“Pada PRU-15, Pakatan Harapan (PH) cuma menang 82 kerusi. Mereka kekurangan 30 kerusi. Maknanya, mereka kalah untuk bentuk kerajaan sendiri.
“Jumlah undi (undi popular). PH hanya dapat 38 peratus undi. Ini bermakna, 62 peratus rakyat Malaysia menolak Anwar Ibrahim. Majoriti rakyat tidak mahu beliau jadi Perdana Menteri. Angka ini tidak boleh ditipu.
“Masa berkempen, kita dengar macam-macam sumpah. PH kata BN penyamun, perompak. BN pula bersumpah, “No Anwar, No DAP”. Pengundi percaya. Mereka pun undi.
“Selepas pilihan raya, apabila masing-masing tidak cukup kerusi, sumpah dan janji ini dicampak ke dalam longkang. Musuh ketat tiba-tiba peluk sesama sendiri. Mereka tidur sebantal demi kuasa.
“Rakyat yang undi BN kerana benci PH telah ditipu. Rakyat yang undi PH kerana anti-rasuah juga ditipu,” bidas beliau.
Jelas Rafique, kerajaan hari ini bukan pilihan rakyat di peti undi. Ini kerajaan hotel mewah, hasil rundingan belakang tabir selepas pilihan raya tamat. Ini bukan mandat rakyat. Ini mandat paksaan.
“Jangan tipu rakyat.Rakyat jangan kena tipu lagi.
“Masa depan negara tidak boleh digadaikan dengan cara politik begini. Kita tidak mahu lagi kerajaan yang dibentuk secara tangkap muat selepas pilihan raya.
“Anwar Ibrahim kata biar kekal tempoh mandat.
“Saya kata adakah rakyat beri dia mandat? soalnya.



