KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar didakwa berdrama dan membodohkan rakyat dengan menyertai perarakan bersama Majlis Peguam yang menganjurkan “Walk of Justice”.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi malah mengkritik perarakan Majlis Peguam itu yang didakwanya kurang berkesan kerana sebaiknya kumpulan pengamal undang-undang mengadakan dialog dengan kerajaan.
“Sekali lagi Nurul Izzah berdrama. Dia membodohkan rakyat. Lagi baik dia beritahu di perarakan itu bahawa dia membantah tindakan ayahnya. Tapi ayahnya berdegil. Oleh itu dia akan letak jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Majlis Peguam mengisytiharkan “Walk of justice” anjuran mereka semalam berjaya. Saya meraguinya. Ini bukan kali pertama mereka berarak dalam memperjuangkan isu perundangan.
“Lagi pun Majlis Peguam adalah NGO partisan. Mereka amat selektif dalam memperjuangkan isu perundangan dan kehakiman. Berarak dan menjerit sambil berjalan tidak sesuai dengan imej pengamal undang undang.
“Adalah lebih bermanfaat jika Majlis Peguam mengadakan dialog dengan kerajaan. Atau berjumpa dengan ahli Parlimen supaya mereka bahas isu ini di Parlimen,” saran Puad.
Menurut Speker DUN Johor itu lagi, cara Majlis Peguam tidak berubah dari dulu hingga sekarang.
“Mereka menuntut perubahan institusi tetapi cara mereka tidak pernah berubah. Paling ketara sikap selektif, partisan dan berat sebelah Majlis Peguam.
“Sepatutnya Majlis Peguam dan Rafizi menuntut RCI lebih komprehensif. Jangan fokus isu lambat lantik Ketua Hakim Negara sahaja.
“Siasat juga dakwaan Tan Sri Abdul Rahman Sebli amalan perbicaraan tidak adil seperti yang berlaku kepada Najib Razak.
“Katanya Tommy Thomas menyertai perarakan itu. Tetapi pernahkah Bar Council berarak apabila Tommy Thomas mendedahkan dalam buku memoirnya bahawa pelantikan Tun Tengku Maimun itu sendiri penuh kontroversi,” katanya.



