Umno sekali lagi diselamatkan oleh kluster kerajaan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pendaftar Pertubuhan (ROS) dijangka mengumumkan keputusan mereka mengenai pindaan Perlembagaan Umno hari ini atau esok, selepas genap tempoh 60 hari dari Perhimpunan Agung Khas Umno mei lalu.

Berdasarkan beberapa perkara teknikaliti, hanya pengaruh Perdana Menteri dan para menteri Umno dalam kerajaan yang mungkin membolehkan pindaan ini diluluskan.

Pada Mei lalu, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Pindaan di bawah Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, MKT Umno mempunyai pilihan sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

Menurut sumber, ROS dijangka meluluskan pindaan tersebut di sebalik isu teknikaliti notis memanggil PAU khas oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan telah menyalahi peraturan parti.

PAU Khas Umno hanya boleh dipanggil melalui tiga keadaan iaitu (1) atas permintaan Presiden, atau (2) keputusan 2/3 Ahli Majlis Tertinggi Umno atau (3) 2/3 mesyuarat-mesyuarat Umno bahagian membuat permintaan bertulis.

Bagaimanapun surat jemputan kepada perwakilan untuk mengadakan PAU khas tidak menyatakan salah satu sebab tersebut. Ini menyebabkan ROS keberatan meluluskan pindaan yang dipohon.

Kesilapan teknikal ini menyebabkan ROS mengambil masa lama bagi mempertimbangkan kelulusan kerana perlu mendapat khidmat nasihat guaman dari pelbagai aspek.

SuaraTv difahamkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah meminta jasa baik ROS mempertimbangkan kelulusan berikutan keputusan memanggil PAU Khas sememangnya diluluskan oleh Mesyuarat MKT UMNO dan hanya kesilapan teknikal dalam surat jemputan oleh Setiausaha Agung Umno.

Perkara kedua berbangkit ialah keabsahan pemegang jawatan yang telah tamat tempoh untuk memanggil PAU Khas bagi membuat pindaan perlembagaan parti. Pemegang jawatan Umno telah tamat tempoh sepatutnya hanya boleh menguruskan parti sehingga pemilihan diadakan, bukannya membuat pindaan dasar pertubuhan.

Ada pemimpin Umno yang cuba membandingkan pindaan perlembagaan ini dengan apa yang dilakukan oleh MCA. Walaupun pindaan membabitkan peruntukan hampir sama, namun MCA telah melakukan mengikut peraturan parti dan ketika para pemegang jawatan mereka masih dalam tempoh sah.

Ini bukan kali pertama Umno berhadapan isu perundangan dengan Pendaftar Pertubuhan. Pada tahun lalu, Umno membuat kesilapan besar apabila menghantar surat penangguhan pemilihan 18 bulan ketika tempoh pemegang jawatan telah tamat.

Secara teknikal permohonan Umno sepatutnya telah ditolak. Namun Umno bernasib baik kerana mereka menguasai kerajaan, maka kesilapan-kesilapan kecil seperti ini telah diselamatkan oleh kerajaan campuran yang mereka bentuk.

Jika keputusan ROS nanti membenarkan pindaan Perlembagaan UMNO, maka ia tidak lebih daripada usaha Ismail Sabri menyelamatkan maruah parti politik terbesar di negara ini. Malulah Umno sebagai parti terbesar dan berkepak seantero negara sebagai pentadbir yang cekap membuat kesilapan-kesilapan mudah seperti ini.

Mungkin ahli Umno perlu sedar bahawa kedudukan ahli-ahli Parlimen UMNO yang mereka gelar kluster Menteri inilah yang menyelamatkan Umno setiap kali para pemegang jawatan dalam parti membuat kesilapan.

Kluster Umno dalam kerajaan jugalah yang menyelamatkan parti dari terjebak dengan usaha beberapa pemimpin Umno untuk menaikkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Walaupun ramai yang berkata ia satu taktikal politik, namun realitinya surat telah dihantar kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bukanlah sekadar mainan atau taktikal politik.

Jika tidak ditentang oleh ahli-ahli Parlimen Umno yang bersama Perdana Menteri Ismail Sabri, Umno sekarang telah menjadi sebahagian kerajaan campuran PH-BN yang cuba diasaskan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Umno lupa juga jangan lupa bahawa apabila Umno membentuk kerajaan bersama PN, beratus juta wang Umno yang dibekukan telah dikembalikan dan yang menikmatinya adalah pemegang jawatan dalam parti, bukannya ahli-ahli Parlimen Umno yang bertekad menolak Anwar Ibrahim.

Bagi pemerhati politik luar adalah tidak masuk akal untuk ahli Umno membenci mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan, dan mengagungkan mereka yang berada di luar kerajaan; sedangkan realiti menunjukkan kedudukan Umno dalam kerajaanlah yang telah banyak kali menyelamatkan parti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat