Afdlin Shauki, Shahrol Shiro berdamai

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Pengarah filem dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki, 51, menegaskan beliau mengecam sekeras-kerasnya apa-apa sahaja perbuatan menghina agama Islam di pentas lawak.

Afdlin menerusi hantaran secara terbuka dibuatnya di Instagram berkata, walaupun hanya segelintir pelawak yang terbabit mempersenda agama, ia tetap tidak boleh dibiarkan berlaku berterusan kerana boleh menjadi ‘barah’.

“Berdasarkan info-info terkini yang diberikan kepada saya oleh rakan-rakan dan seperti mana saya terangkan semalam di program ‘live’ bersama Amin Idris, saya dengan sekeras-kerasnya terus mengecam apa-apa perbuatan menghina agama di pentas lawak.

“Walaupun hanya segelintir, jika ia berterusan akan menjadi barah. Saya rasa jijik dan saya tak boleh lagi memberi sokongan kepada Crackhouse Comedy Club! Walaupun sokongan saya sebelum ini hanya bertujuan untuk kesinambungan rezeki pelawak-pelawak yang kebanyakannya mempunyai lawak berkualiti dan tak menghina sesiapa,” tulisnya.

Menurut Afdlin, justeru beliau menasihatkan kepada pelawak-pelawak ‘stand up’ agar mencari dulu tempat alternatif bagi terus memperoleh rezeki.

Katanya, apa yang berlaku ke atas kelab berkenaan memerlukan masa untuk diselesaikan dan biarlah pihak berkuasa melakukan siasatan.

“Jika mereka disabitkan kesalahan, mereka mestilah menerima pembalasannya. Abang mendoakan agar adik-adik pelawak yang terkesan sentiasa dilindungi sewaktu dugaan ini dan rezeki kalian dimurahkan.

“Kita hanya boleh berjuang berdasarkan informasi yang diterima dan pada ketika ini, informasi ini membuat abang tidak boleh lagi menyokong agar Crackhouse terus dibuka,” jelasnya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di ruangan komen mendapati pelawak Shahrol Shiro turut hadir memohon maaf kepada Afdlin jika kelantangan dia bersuara sebelum ini ada terkasar bahasa dan mengguris persahabatan mereka.

“Alhamdulillah, syukur bila abang sudah tersedar. Ternyata seperti kenyataan abang ini sebab serangan politik dan ingin melakukan pembunuhan karakter abang tidak benar sama sekali. Ini adalah mengenai isu agama yang dijadikan bahan ‘stand up’ komedi yang telah melepasi garisan sepatutnya hingga jatuh kepada penghinaan.

“Tahniah kerana telah meletakkan kepentingan agama di hadapan. Jom kita buat ‘report’ agar tindakan tegas diambil. Terima kasih abang. Mohon maaf jika terkasar bahasa dan mengguris persahabatan kita,” tulisnya.

Sejak kelmarin berlaku perbalahan di antara Afdlin dan Shahrol di media sosial apabila mereka saling berbalas kenyataan mempertahan pendapat masing-masing. Sebelum ini, Afdlin menentang keras penutupan seketika Crackhouse, manakala Shahrol pula bersetuju ia ditutup untuk siasatan terperinci dilakukan oleh pihak berkuasa selepas kejadian video tular wanita yang membuat persembahan di situ.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat