KUALA LUMPUR – Semua pihak terutama penjawat awam diingatkan tidak menggunakan bahasa kurang sopan.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata demikian ketika mengulas kritikan terhadap Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohd Hisyamuddin Ghazali.
Terdahulu Hisyamuddin yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz terpalit kontroversi selepas menggelar bekas pengarah komunikasi strategik BN Eric See-To dan ahli perniagaan kontroversi Albert Tei sebagai “Cina sesat”.
“Nasihat untuk semua orang, janganlah guna pakai bahasa-bahasa yang tidak sopan dan kita elakkan semua isu-isu 3R bukan sahaja semasa kempen tetapi sepanjang masa,” Nie Ching dipetik sebagai berkata di Putrajaya.
Nie Ching berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kursus berkaitan dialog berkaitan keseimbangan antara penularan maklumat dan tanggungjawab dalam kewartawanan.
Selepas dituduh membuat kenyataan rasis terhadap masyarakat Cina, Hisyamuddin menjelaskan komen “Cina sesat” yang dibuatnya hanya ditujukan kepada See-To dan Tei.
Terdahulu, hantaran Hisyamuddin yang disunting dua kali bagi membuang perkataan “Cina” dan “balaci”, mengundang kecaman pelbagai pihak, termasuk ahli politik kerajaan dan pembangkang.
Hisyamuddin mendakwa terdapat pihak tidak bertanggungjawab memutar belit kenyataannya bagi memberi gambaran dia menyerang seluruh kaum Cina.
Sementara itu, Nie Ching berkata dia belum lagi bertemu dengan Hisyamuddin bagi menyampaikan teguran itu, menurut Malaysiakini.
Hisyamuddin dilantik sebagai ketua pengarah J-Kom pada 9 Jun, menggantikan Ismail Yusop atau Tok Abah yang menamatkan perkhidmatannya selepas lebih setahun menerajui agensi itu.



