Keupayaan set desktop kelas prestasi sebenarnya bukan hanya untuk pengalaman permainan terbaik, tetapi ia juga digunakan untuk tugasan kompleks seperti suntingan video serta sintesis animasi tanpa sebarang masalah.
Penyedia kandungan atau ‘content creator’ sering berdepan masalah ‘lagging’, ‘crash’ dan sebagainya apabila melakukan sintesis tugasan kompleks kerana ia memerlukan perkakas terbaik di pasaran.
Untuk itu, pengeluar jenama perkakas kelas prestasi serta permainan terkemuka, MSI menerusi papan induknya, MSH B660M Mortar WiFi menawarkan semua ciri khusus untuk pengguna.
Padanan papan induk berkenaan menjadi lengkap jika pengguna melakukan padanan kepada modul memori (RAM) daripada Kingston Fury untuk prestasi terbaik khususnya bagi pengalaman permainan serta prestasi tanpa gangguan.
Menyentuh aspek spesifikasi bagi papan induk, MSI B660M Mortar WiFi ini dilengkapi teknologi ‘Core Boost’ dengan rekaan premium sesuai dengan kelas prestasi tinggi.
Perkakas ini juga dilengkapi enam lapisan PCB bersama ketebalan tembaga 2oz supaya memastikan kestabilan kepenggunaan walaupun dalam tempoh yang panjang tanpa kompromi.
MSI MAG B660M Mortar WiFi ini juga didatangkan dengan komponen digital PWM bersama pelindung ‘steel armor’ untuk kad grafik pengguna, sekali gus mengelakkan ia bengkok atau sebarang bentuk kerosakan lain.
Papan induk ini turut menyokong cip pemproses generasi baharu keluaran Intel iaitu Intel Core Generasi Ke-12 dan turut didatangkan dengan dua slot memori atau storan binaan Lightning Gen 4 M.2 dengan kadar bacaan kelajuan 64Gb/s.
Ia juga menyokong WiFi generasi keenam, sekali gus memastikan kestabilan jaringan internet khususnya untuk pengguna yang mementingkan prestasi dalam sebarang keadaan.
Bagi modul RAM pula, padanan dilakukan daripada Kingston Fury Beast dengan kuasa prestasi 32GB bagi dua modul dengan kadar frekuensi kelajuan 3600MHz.
Untuk pengguna yang mementingkan keupayaan prestasi, Kingston Fury Beast adalah jawapannya kerana ia dioptimasi secara maksimum bagi pengguna cip pemproses Intel Core serta AMD Ryzen.
Jadi, tidak timbul isu kestabilan jika pengguna memilih Kingston Fury Beast ini tambahan pula jenama Kingston sudah dikenali sebagai pengeluar modul memori terkemuka.
Kit modul memori ini adalah sistem XMP tersedia dan pengguna hanya perlu menukar profil XMP mereka pada pemuka bios untuk membolehkan Kingston Fury Beast ini dilancarkan pada frekuensi maksimum.
Selain itu, pengguna juga boleh melakukan talaan prestasi sendiri secara ‘overclocked’ jika mempunyai kemahiran untuk melaksanakan talaan berkenaan dan pada masa sama ia dilindungi dengan ‘lifetime warranty’.
Secara keseluruhannya, padanan papan induk MSI MAG B660M Mortar WiFi bersama Kingston Fury Beast 32GB ini adalah padanan paling sesuai untuk pengguna yang mahu memastikan kestabilan sistem serta keupayaan pada tahap maksimum.
Pengalaman permainan serta tugasan kompleks juga tidak memberi sebarang masalah kepada pengguna biarpun melakukan sintesis animasi yang rumit.
Harian Metro