Bursa Malaysia Catat Penurunan Lima Hari Dagangan Berturut-turut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia meneruskan penurunan untuk ditutup rendah bagi sesi kelima berturut-turut hari ini berikutan sentimen pasaran yang lemah akibat perkembangan luaran yang mempengaruhi selera risiko pelabur.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.55 mata atau 0.39 peratus kepada 1,417.37 daripada 1,422.92 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Indeks utama itu dibuka 1,423.53 lebih tinggi pagi ini sebelum berubah-ubah antara 1,415.94 dan 1,427.36 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 547 berbanding 304, manakala 411 kaunter tidak berubah, 995 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.66 bilion unit bernilai RM1.41 bilion daripada 2.74 bilion unit bernilai RM1.77 bilion pada Jumaat.

Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd, Kenneth Leong, berkata FBM KLCI mencatat aliran rendah hari ini berikutan kebimbangan terhadap siling hutang Amerika Syarikat dan menjelang pengeluaran data jualan runcit dan pengeluaran perindustrian China esok.

“Pada masa depan, kami menjangkakan sentimen akan kekal tenang tanpa kemunculan petunjuk baharu, manakala dana asing masih mengurangkan pegangannya dalam ekuiti Malaysia. Bagaimanapun, pelabur mungkin memantau dengan teliti musim laporan keputusan suku tahunan semasa,” katanya.

Leong melihat paras sokongan segera pada 1,413 mata dan paras halangan pada 1,437 dan 1,450.

Saham wajaran tinggi Public Bank turun tiga sen kepada RM3.94, Petronas Chemicals menguncup lima sen kepada RM6.98, CelcomDigi turun enam sen kepada RM4.42, manakala Maybank tidak berubah pada RM8.69.

Bagaimanapun, Tenaga meningkat enam sen kepada RM9.52 dan CIMB meraih tiga sen kepada RM4.98.

Dalam kalangan saham aktif, VSolar tidak berubah pada setengah sen, Jade Marvel turun setengah sen kepada 26.5 sen, BSL Corporation menambah setengah sen kepada lima sen, manakala Revenue Group menyusut satu sen kepada 31.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 39.02 mata kepada 10,376.63, Indeks FBMT 100 turun 38.27 mata kepada 10,073.11 dan Indeks FBM ACE berkurangan 3.47 mata kepada 4,981.01.

Indeks FBM 70 turun 46.47 mata kepada 13,441.69 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 48.38 mata kepada 10,727.54.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.4 mata kepada 165.72, Indeks Tenaga turun 2.0 mata kepada 827.39, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 23.89 mata kepada 15,489.39 dan Indeks Perladangan turun 64.94 mata kepada 6,891.72.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.62 bilion unit bernilai RM1.17 bilion daripada 1.70 bilion unit pada RM1.50 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 394.36 juta unit bernilai RM69.14 juta berbanding 338.39 juta unit bernilai RM54.18 juta Jumaat lalu.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 649.65 juta saham bernilai RM175.52 juta daripada 699.03 juta saham bernilai RM215.96 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 250.99 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (550.72 juta); pembinaan (40.99 juta); teknologi (190.77 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (43.69 juta); hartanah (200.63 juta); perladangan (27.36 juta); REIT (10.64 juta), dana tertutup (9,000); tenaga (139.46 juta); penjagaan kesihatan (64.94 juta); telekomunikasi dan media (45.41 juta); pengangkutan dan logistik (29.91 juta); serta utiliti (21.37 juta). – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat