KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan belum menerima sebarang keputusan daripada Peguam Negara (AG) berhubung menggugurkan kes gagal mengisytiharkan harta ke atas bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia semalam.
Menurut seorang timbalan pendakwa raya (TPR), ini selaras dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam.
“Sebagaimana dinyatakan semalam, bahawa tindakan seterusnya akan diputuskan oleh TPR setelah perbincangan dengan pihak SPRM bersama pihak terbabit,” katanya yang tidak mahu namanya didedahkan, lapor Malaysiakini pada Khamis.
Susulan pemergian Daim pada usia 86 tahun pagi semalam, Azam dilaporkan berkata, pihaknya akan membincangkan tindakan seterusnya dengan pihak TPR.
Katanya perkembangan itu berkemungkinan boleh menjejaskan pendakwaan yang dilakukan.
Bagaimanapun ,Azam berkata, perkara itu kemungkinan akan mengambil sedikit masa sekurang-kurangnya satu atau dua minggu dan SPRM akan memberikan kemas kini sebaik keputusan dibuat.
Bekas menteri kewangan itu meninggal dunia di Hospital Assunta di Petaling Jaya, pagi semalam, dan meninggalkan seorang isteri, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid serta lima anak.
Peguamnya Gurdial Singh Nijar berkata dia diserang angin ahmar baru-baru ini dan berada di unit rawatan rapi.
Taikun perniagaan itu pertama kali dilantik menjadi menteri kewangan pada 1984 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Dia berkhidmat sehingga 1991.
Dia sekali lagi dilantik ke jawatan itu pada 1999, juga oleh Mahathir, sebelum meletakkan jawatan pada 2001.
Daim pernah menjadi ahli Umno dan pernah menjadi ahli Parlimen selama lima penggal, dari 1982 hingga 1999 (di Kuala Muda untuk sepenggal, dan di Merbok untuk empat penggal).
Dikenali sebagai sekutu rapat Dr Mahathir, dia dipecat daripada Umno selepas menyertai ceramah PH di Melaka pada 2018.
Daim mutakhir ini menjadi perhatian selepas SPRM memulakan siasatan ke atasnya berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Dia turut didakwa di mahkamah atas kegagalan mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan aset meliputi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah dan dua akaun dana pelaburan.
Pada Disember tahun lalu, SPRM menyita Menara Ilham, sebuah bangunan komersial bernilai tinggi miliknya.