KUALA LUMPUR – Pakar industri hartanah menjangkakan kenaikan harga rumah teres sehingga lima peratus pada 2025 berdasarkan permintaan yang berterusan.
Penilai Berkanun dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengasas Irhamy Valuers International yang merupakan sebahagian daripada Juwai IQI, Irhamy Ahmad berkata, harga rumah teres akan mengatasi jenis rumah lain pada 2025, seperti yang berlaku pada 2023.
“Pertumbuhan sebanyak lima peratus menjelang akhir tahun depan menunjukkan prestasi yang lebih kukuh berbanding tahun lalu.
“Dalam tempoh 12 bulan sehingga suku kedua 2024, indeks harga rumah teres rasmi daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) hanya naik sebanyak 1.1 peratus. Walau bagaimanapun, pada 2023 secara keseluruhannya, harga rumah teres meningkat sebanyak 3.7 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, secara amnya, rumah teres adalah antara jenis kediaman yang menunjukkan prestasi terbaik.
“Pada 2023, pertumbuhan harga rumah teres sebanyak 3.7 peratus adalah lebih tinggi berbanding jenis rumah lain pada tahun tersebut.
“Rumah pangsapuri merupakan prestasi kedua terbaik pada 2023 dengan pertumbuhan harga sebanyak 3.6 peratus, diikuti rumah berkembar (2.3 peratus) dan rumah terpisah (1.4 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, secara jangka panjang, indeks harga rumah teres telah jauh mengatasi jenis kediaman lain.
“Sejak 2010, indeks harga semua jenis rumah telah meningkat sebanyak 118.7 peratus. Indeks untuk rumah pangsapuri pula menunjukkan prestasi yang lebih baik, meningkat sebanyak 112.7 peratus.
“Tetapi harga rumah teres melonjak lebih tinggi, dengan peningkatan sebanyak 144.4 peratus.
Rumah berkembar dan rumah terpisah mengalami pertumbuhan harga yang paling perlahan, masing-masing dengan kenaikan 191.8 dan 168.3 peratus.
“Semua pertumbuhan ini telah menjadikan harga purata rumah teres di Malaysia hari ini sebanyak RM453,343. Walaupun mencatatkan rekod prestasi pertumbuhan terbaik, rumah teres bukanlah jenis rumah yang paling mahal,” katanya.
Selain itu, jenis rumah paling mahal ketika ini adalah rumah berkembar dengan harga purata RM718,599, diikuti rapat oleh rumah terpisah dengan harga purata RM643,387 dan rumah jenis pangsapuri pula mempunyai harga purata yang paling rendah, iaitu RM367,201.
Tambah Irhamy, rumah teres dua tingkat di sudut adalah jenis rumah teres yang paling diidamkan.
“Harga tertinggi bagi rumah teres lot sudut adalah di Taman Tun Dr. Ismail dan Bandar Utama. Lot sudut akan sentiasa menarik kerana ia sentiasa kekurangan bekalan,” katanya.