BEIJING – China pada Isnin melancarkan latihan ketenteraan di sekitar Taiwan kata Kementerian Pertahanan Beijing yang menghantar pesawat dan kapal ‘mengepung’ pulau itu.
Beijing mengekalkan kehadiran tenteranya hampir setiap hari di sekitar Taiwan dan latihan pada Isnin mewakili pusingan keempat ‘permainan perang’ berskala besar dalam tempoh dua tahun lalu itu.
Latihan yang digelar Joint Sword-2024B itu ‘menguji keupayaan operasi bersama anggota tentera komando’, kata Beijing.
Ia diadakan di kawasan utara, selatan dan timur Pulau Taiwan, kata Kapten Li Xi, jurucakap Komando Teater Timur tentera China.
“Kita juga melakukan ‘serangan ke atas sasaran maritim, darat dan menyeluruh’,” kata Li Xi, lapor AFP.
China meningkatkan aktiviti ketenteraannya di sekitar Taiwan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan menghantar pesawat pejuang dan pesawat tentera lain sementara kapalnya mengekalkan kehadiran hampir berterusan di sekitar perairan pulau itu.
Beijing sebelum ini tidak menolak menggunakan kekerasan untuk membawa pulau yang dikendalikan secara demokrasi itu di bawah kawalannya.
Amerika Syarikat dan Taiwan menggesa China supaya tidak mengambil tindakan sebagai tindak balas kepada ucapan Presiden Taiwan, Lai Ching-te semasa sambutan Hari Kebangsaan pulau itu minggu lalu.
Lai, yang mengambil alih jawatan pada Mei lebih lantang daripada pendahulunya, Tsai Ing-wen dalam mempertahankan kedaulatan Taiwan, menimbulkan kemarahan kerajaan China yang menggelarnya sebagai ‘pemisah’.
Dalam ucapannya pada Khamis, Lai Ching-te berikrar untuk ‘menentang pengambilalihan’ pulau itu.
Beijing pada Isnin berkata, latihan itu bertindak sebagai ‘amaran keras kepada tindakan pemisah pasukan ‘Kemerdekaan Taiwan’.
“Ia adalah operasi yang sah dan perlu untuk menjaga kedaulatan negara dan perpaduan negara,” kata Li Xi.