JENDELA Berjalan Ikut Jadual, Pelaksanaan Skop Kerja Lepasi Sasaran Ditetapkan – Annuar

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Pelaksanaan projek di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) berjalan mengikut jadual dan semua skop kerja yang dilaksanakan melepasi sasaran yang ditetapkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata pencapaian itu dimaklumkan dalam laporan suku tahun ketiga JENDELA oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dan kesemua syarikat telekomunikasi dalam mesyuarat penggal ketiga Jawatankuasa Pemandu bagi pelaksanaan pelan JENDELA hari ini.

“Saya berpuas hati kerana pencapaian dalam semua skop melepasi sasaran yang dilaksanakan,” katanya kepada media selepas melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia, di sini hari ini.

Annuar berharap semua pihak berkaitan dengan pelaksanaan JENDELA, dapat meneruskan prestasi dengan memastikan ‘roll-out’ JENDELA berjalan dengan lancar sama ada dari segi liputan 4G, kelajuan dan jumlah premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

Dalam fasa pertama JENDELA yang sedang berjalan hingga tahun hadapan, sasaran adalah untuk memperluas liputan 4G bagi jalur lebar mudah alih daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk.

Ia juga untuk mempertingkat kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps (megabit sesaat) kepada 35Mbps serta membolehkan sebanyak 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

Annuar berkata liputan 4G pada masa ini ialah 94 peratus dan menjelang akhir tahun akan mencapai 96.9 peratus, dan premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit telah melepasi 6.4 juta.

Beliau berkata sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu akan mula dibina bulan ini menerusi fasa pertama JENDELA yang menjangkakan kerja pembinaan dapat disiapkan sebelum akhir tahun depan.

Mengenai kesalinghubungan di sekolah, Annuar berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memahami cabaran Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masalah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), yang memerlukan kerjasama beberapa kementerian untuk mengatasi isu tersebut.

Beliau berkata satu perbincangan bersama KKMM, KPM, Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri dan pihak berkaitan, akan diadakan untuk mencari jalan melengkapkan ekosistem di sekolah, supaya setiap sekolah mempunyai ekosistem yang kondusif untuk memanfaatkan khidmat jalur lebar.

Annuar berharap masalah berkenaan dapat diatasi menjelang akhir tahun depan supaya sekolah di seluruh negara menikmati kemudahan yang stabil dan berkualiti. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat