Pulau Batu Puteh: Cuba kalau Langkawi diambil Thailand, apa orang Kedah rasa? – Sultan Johor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Sultan Johor,Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah tidak berpuas hati dengan tindakan Putrajaya tidak meneruskan permohonan semakan Pulau Batu Puteh atau dikenali sebagai Pedra Branca.

Titah baginda tindakan kerajaan itu seolah-olah mengaku kalah sebelum masuk gelanggang.

“Tindakan mesti diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab jika benar ada pihak yang melakukan kecuaian dan kekhilafan dalam tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh,” titahnya dalam catatan di Facebook pada Khamis.

Bukan sekadar itu, baginda mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang. Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita? Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?

“Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr. Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan. Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titahnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu kenyataan telah memaklumkan Kerajaan Negeri Johor memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas Kerajaan Persekutuan.

Penubuhan pasukan itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar perundangan antarabangsa berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

Sebelum ini media melaporkan bahawa Malaysia sudah terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2018.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata Dr Mahathir membuat keputusan itu, beberapa hari sebelum kes itu dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 11 Jun 2018.

“Pulau itu sudah hilang untuk selama-lamanya, terima kasih kepada Tun Mahathir. Dia yang buat keputusan untuk menarik balik kes beberapa hari sebelum tarikh bicara di Mahkamah Antarabangsa (ICJ),” kata Apandi yang memberitahu ketika keputusan itu dibuat beliau diarah bercuti sebagai Peguam Negara.

Foto: Facebook Tuanku Sultan Ibrahim

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat