Mahkamah Syariah Di WPKL Beroperasi Sepanjang PKPB

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Semua Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai hari ini hingga 27 Oktober.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Ketua Hakim Syarie MSWP semalam, pelanggan yang hadir untuk prosiding kes atau mendaftar kes baharu atau apa-apa urusan lain di MSWP perlu memeriksa suhu dan bacaan suhu di bawah 37.5°C sahaja dibenarkan untuk meneruskan urusan.

“Pelanggan yang mengalami masalah kesihatan dinasihatkan untuk menangguhkan hasrat hadir ke mahkamah sehingga benar-benar sembuh.

“Pelanggan juga wajib memakai pelitup muka sepanjang berurusan di premis MSWP serta kanak-kanak tidak dibenarkan memasuki premis MSWP dan hanya pihak-pihak dalam sesuatu kes sahaja dibenarkan masuk berurusan.

“Pelanggan juga perlu mengimbas kod QR (aplikasi MySejahtera), mengisi butiran maklumat dalam buku daftar kehadiran pelanggan. Pelanggan perlu mencuci tangan menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan serta mematuhi dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal,” menurut kenyataan itu.

Sesi bagi urusan pendaftaran kes dibahagikan kepada tiga iaitu sesi satu yang terhad bagi 20 pelanggan (8.30 pagi hingga 10.30 pagi), sesi dua, terhad kepada 30 pelanggan (10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari) dan sesi tiga, terhad kepada 30 pelanggan (12.30 tengah hari hingga 3.30 petang).

“Sekiranya pihak-pihak tidak dapat hadir untuk mendaftarkan kes kerana halangan merentasi sempadan daerah, pihak-pihak dinasihati untuk menunggu sehingga tamat tempoh PKPB.

“Bagaimanapun, bagi kes-kes mendesak seperti kes persetujuan bersama, kes memerlukan pembubaran perkahwinan (fasakh) akibat keganasan rumah tangga, injunksi, kes melibatkan tempoh seperti pemfailan notis rayuan dalam tempoh 14 hari, pemfailan dan perbicaraan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah (kedua-dua pihak hadir) serta carian perintah (ambil dan isi borang sahaja) boleh menghubungi pegawai bertugas MSWP,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut berhubung operasi MSWP akan sentiasa dikemas kini dalam laman Facebook rasmi MSWP dan sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi pegawai khidmat pelanggan di talian 03-62057000.

-BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat