AMK ungkit seolah-olah parti mereka paling suci, berintegriti – Pemuda Umno Kapar

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Kapar Mohd Affifi Aris mempersoalkan, mengapa apabila Umno mula menyatakan pendirian dan menentukan hala tujunya sendiri menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), perkara lama kembali diungkit untuk membentuk persepsi negatif terhadap Presiden dan kepimpinan Umno?

Affifi mengingatkan Angkatan Muda Keadialan (AMK) agar tidak ada dua darjat dalam politik.

“Mereka (AMK) mengungkit. Mereka bercakap seolah-olah parti mereka paling suci dan paling tinggi integritinya.

“Kalau mahu mengungkit, mari kita ingat semula sejarah pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Jangan jadikan keputusan undang-undang sebagai alat untuk membina persepsi buruk terhadap kepimpinan Umno hanya apabila pendirian politik Umno tidak lagi menepati kehendak pihak tertentu,” tempelak beliau.

Menurut beliau, selepas PRU15, keputusan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Pengerusi BN merangkap Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, merupakan antara faktor penting yang membolehkan pembentukan Kerajaan Perpaduan dan seterusnya pelantikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Jangan apabila sudah berada di Putrajaya, sumbangan dan pendirian Umno serta BN ketika negara berdepan kebuntuan politik mahu dilupakan begitu sahaja.

“Sejak awal, pendirian Umno konsisten, sebarang siasatan dan pendakwaan hendaklah dilaksanakan secara adil, profesional dan berlandaskan undang-undang.

“Bukannya dijadikan alat untuk menekan, mengugut atau memalukan sesiapa hanya kerana perbezaan politik.

“Presiden Umno juga telah berulang kali memberikan komitmen bahawa Barisan Nasional akan menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal atau sehingga Parlimen dibubarkan. Tidak ada tebuk atap. Tidak ada pintu belakang.

“Namun, hala tuju Umno dan BN menuju PRU16 adalah hak parti untuk menentukannya sendiri melalui kepimpinan dan proses yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti, termasuk keputusan melalui Perhimpunan Agung Umno (PAU).

“Kawan dalam kerajaan tidak bermaksud Umno kehilangan hak untuk bersuara, berbeza pandangan atau menentukan masa depannya sendiri,” katanya.

Affifi menyatakan, yang membimbangkan ialah apabila perbezaan pendirian politik dibalas dengan serangan persepsi terhadap Umno dan pimpinannya.

Ujarnya, lebih serius apabila timbul persepsi bahawa institusi atau agensi kerajaan boleh dijadikan instrumen tekanan politik.

“Kini, keputusan DNAA dalam kes Zahid Hamidi kembali dibangkitkan dan dijadikan bahan serangan politik.

“Ketika Zahid Hamidi dan BN memberikan sokongan sehingga membolehkan pembentukan Kerajaan Perpaduan, di manakah suara-suara lantang ini?

“Ketika sokongan Umno diperlukan, kami dianggap rakan Kerajaan Perpaduan. Tetapi apabila Umno mempunyai pendirian sendiri, jangan pula kami dilayan seolah-olah musuh yang perlu ditekan dan dipalitkan dengan pelbagai persepsi.

“Prinsip undang-undang mesti dihormati. Seseorang tidak boleh dianggap bersalah hanya kerana disiasat atau didakwa. Kesalahan mesti dibuktikan melalui proses mahkamah.

“Jangan mendahului mahkamah. Jangan menghukum melalui persepsi sebelum proses undang-undang menentukan kedudukannya.

“Pada masa sama, saya mempersoalkan sikap AMK. Jika benar perjuangan mereka adalah mengenai integriti, ketelusan dan akauntabiliti, mengapa kelantangan yang sama tidak kelihatan dalam pelbagai kontroversi dan dakwaan lain yang menjadi perhatian masyarakat?

“Apa pendirian AMK mengenai kerugian berkaitan pelaburan KWAP dalam eFishery? Apa desakan AMK berhubung dakwaan kewujudan “mafia korporat”?

“Bagaimana pula isu lesen perlombongan di Sabah dan dakwaan rasuah yang dibangkitkan oleh Albert Tei?

“Dan ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, apakah perjuangan besar AMK untuk membela mereka? Apa sebenarnya fungsi AMK? soal Affifi lagi.

Beliau mempersoalkan, adakah menjadi sayap anak muda sebuah parti kerajaan sekadar bermaksud mencari kesalahan Umno dan menjadi cermin kepada setiap tindakan serta pendirian Umno?

“Jika integriti benar-benar menjadi prinsip, prinsip itu mesti digunakan terhadap semua pihak — kawan ataupun lawan.

“Jangan integriti hanya dilaungkan apabila sasarannya Umno.

“Jangan keadilan hanya dituntut apabila ia menguntungkan politik sendiri.

“Jangan pula institusi dan proses undang-undang hanya dihormati apabila keputusannya memihak kepada kehendak politik kita. Dan jangan kita wariskan kepada generasi seterusnya budaya politik dendam yang tidak berkesudahan,” katanya.

Tegas beliau, kuasa tidak kekal selama-lamanya. Kerusi empuk di Putrajaya juga bukan milik sesiapa untuk selama-lamanya.

“Hari ini seseorang mungkin mempunyai kuasa. Esok keadaan boleh berubah.

“Sebab itulah institusi, undang-undang dan prinsip keadilan mesti dipertahankan tanpa mengira siapa yang memerintah dan siapa yang menjadi pembangkang.

“Tetapi jangan sesekali menjadikan kuasa sebagai senjata politik untuk menekan mereka yang tidak sehaluan.

“Kerana akhirnya, ukuran integriti bukan pada sekuat mana kita menuding jari kepada lawan.

“Integriti sebenar diuji apabila prinsip yang sama turut dikenakan kepada kawan dan diri sendiri,” kata Affifi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat