KUALA LUMPUR — UMNO menegaskan pendirian untuk menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu bagaimanapun belum memperoleh sebarang maklumat rasmi berkaitan keputusan supaya permohonan berkenaan dibawa ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
“Kita masih belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai perkara itu, tetapi seperti yang telah kita nyatakan dalam kenyataan sebelum ini, kita perlu menghormati apa jua keputusan Yang di-Pertuan Agong kerana ia adalah hak prerogatif Baginda di bawah Perlembagaan.
“Sebab itu, tidak wajar mana-mana pihak mempersoalkan kuasa prerogatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang sememangnya termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan,” katanya kepada media selepas Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi mengingatkan supaya semua pihak tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menilai sesuatu perkara, terutama apabila ia membabitkan kepentingan pemimpin atau kelompok tertentu.
“Kenapa kita perlu bersikap berat sebelah? Pada satu pihak, kita membenarkan perkara ini berlaku dan menyokongnya apabila ia membabitkan orang atau pemimpin sendiri, tetapi apabila ia melibatkan orang lain, kita cuba berhujah dari pelbagai sudut dan perspektif.
“Itu sama sekali tidak betul,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.
Perkara itu dimaklumkan BHEUU, Jabatan Perdana Menteri selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berlangsung hari ini.



