KUALA LUMPUR – Penasihat DAP Lim Guan Eng mencabar Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar berani mencadangkan supaya Umno disingkirkan daripada Kerajaan Pulau Pinang.
Cabaran Guan Eng itu susulan cabaran beliau kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menyingkirkan parti itu daripada Kerajaan Persekutuan.
Guan Eng berkata, Zahid secara terbuka mencabar kerajaan gabungan pimpinan PH untuk menyingkirkan Umno daripada Kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada Perhimpunan Agung Umno yang berakhir dua hari lalu.
“Persoalannya, mengapa Zahid tidak berani mencabar PH Pulau Pinang untuk menyingkirkan Umno daripada kerajaan negeri?
“Umno mempunyai wakil dalam barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang, dua pihak berkuasa tempatan (PBT) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, media melaporkan Umno memberi kata dua kepada Kerajaan Perpaduan sama ada meraih semula mandat melalui Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) atau menyingkirkan parti itu secara rasmi.
Zahid berkata, gesaan itu dibuat selepas mengambil kira desakan supaya Umno tidak lagi menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Adun Air Putih berkata, Zahid sepatutnya berani membuat cabaran sama di Pulau Pinang sekiranya benar-benar yakin dengan pendiriannya.
Guan Eng turut mempersoalkan sama ada Timbalan Perdana Menteri itu tidak berbuat demikian kerana mengetahui kerajaan PH Pulau Pinang masih mampu mengekalkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun tanpa dua wakil rakyat Umno.
“Adakah Zahid tidak mempunyai keberanian untuk berbuat demikian kerana beliau tahu bahawa walaupun tanpa dua wakil rakyat negeri daripada Umno, kerajaan PH masih menikmati majoriti dua pertiga dalam DUN Pulau Pinang?” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Umno tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap sikap teragak-agak dan ketidakpastian kepimpinan PH Pulau Pinang berhubung peranan Umno dalam kerajaan negeri.
Katanya, perkara itu lebih ketara apabila Umno dilihat bekerjasama dengan pembangkang Perikatan Nasional (PN) namun pada masa sama masih menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan negeri.
“Pendukung PH melihat dengan jelas bahawa Umno dan Pas akan terus mengamalkan politik ekstrem serta retorik yang memecah-belahkan masyarakat bagi memenangi kuasa dengan apa cara sekalipun,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng menggesa Kerajaan Pulau Pinang mengambil pendekatan yang lebih berorientasikan rakyat bagi berdepan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya bersikap oportunis, tidak berprinsip dan hipokrit.
Beliau mencadangkan kerajaan negeri menutup ruang kepada Umno, Pas, MCA dan Gerakan dengan menangguhkan semua kenaikan caj serta fi, cukai tanah, tarif air dan kadar parkir.
Menurutnya, penangguhan kenaikan berkenaan dapat menghapuskan rungutan yang masih wujud dalam kalangan rakyat selain memulihkan semula keyakinan awam terhadap kerajaan negeri.
“Penangguhan kenaikan caj dan fi, cukai tanah, tarif air serta kadar parkir oleh kerajaan negeri akan menghapuskan sebarang rungutan yang masih ada dan memulihkan keyakinan orang ramai.
“Pada masa sama, ia akan menutup sebarang percubaan oportunis oleh BN dan PN untuk meraih keuntungan politik daripada isu-isu yang masih belum diselesaikan,” katanya.



