KOTA KINABALU — Umno Sabah menolak dapatan kajian Ilham Centre yang mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada di kedudukan selesa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dengan kekuatan sekata di semua wilayah. https://suara.tv/11/09/2025/ilham-centre-grs-di-depan-umno-bn-ketinggalan-pengundi-muda-jadi-penentu-prn-sabah/
Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkata walaupun parti itu menghormati pandangan mana-mana pihak, penilaian berkenaan tidak berpijak di bumi nyata kerana realiti politik di lapangan menunjukkan sentimen yang berbeza sama sekali.
Beliau turut mempersoalkan kaedah serta kayu ukur penyelidikan yang digunakan firma tersebut.
“Kajian yang dibuat oleh pihak tertentu itu sebenarnya tidak berpijak di bumi nyata. Di lapangan, suara rakyat yang kami temui berbeza sama sekali.
“Mereka masih terbeban dengan isu asas tiga serangkai iaitu air, elektrik dan jalan raya yang sehingga hari ini tidak selesai.
“Sejarah politik negara juga sudah membuktikan bahawa kelebihan jentera kerajaan tidak pernah menjamin kemenangan dalam pilihan raya. Justeru, kami yakin Umno akan membuktikan perkara itu pada PRN tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Libaran itu menambah keyakinan terhadap GRS semakin merosot akibat isu integriti, dakwaan rasuah serta kelemahan menangani kos sara hidup.
Menurutnya, janji peluang pekerjaan hanya tinggal retorik tanpa pelan ekonomi menyeluruh untuk rakyat.
“Hari ini kita melihat rakyat semakin terhimpit. Ekonomi mengecil, harga barang naik, kos sara hidup meningkat, dan mereka masih menunggu pelan ekonomi yang benar-benar menyentuh isi perut rakyat.
“Keyakinan rakyat tidak boleh dibentuk melalui laporan atau kenyataan pihak tertentu semata-mata. Ia mesti lahir daripada tindakan, dasar dan keberkesanan pentadbiran yang dirasai oleh rakyat itu sendiri. Itulah yang akan dinilai oleh pengundi Sabah,” katanya lagi.
Suhaimi turut menegaskan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod pencapaian kukuh serta pengalaman luas dalam pentadbiran.
Katanya, perhimpunan ‘Gelombang Biru’ pada 21 September ini akan menjadi simbol kebangkitan rakyat Sabah untuk kembali kepada kepimpinan stabil dan konsisten.
“BN di satu sudut telah tampil dengan rekod pencapaian kukuh dan pengalaman mentadbir yang terbukti. Maka, ‘Gelombang Biru’ yang akan berlangsung pada 21 September di Magellan Sutera bukan sekadar satu perhimpunan biasa.
“Ia adalah simbol kebangkitan rakyat Sabah yang mahu kembali kepada kepimpinan stabil, konsisten dan berwibawa. Itulah semangat yang akan kita bawa menjelang PRN nanti,” katanya.
Semalam, Ketua Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, berkata kajian awal badan itu mendapati GRS mendapat sokongan konsisten di kebanyakan kawasan, manakala majoriti pengundi lebih cenderung kepada calon berprofil tinggi serta parti berpengaruh — faktor yang memberi kelebihan kepada GRS.
Hisomuddin turut dilaporkan berkata, GRS khususnya menikmati sokongan kukuh di kawasan Kadazandusun-Murut (KDM) dan Bumiputera Islam.
Menurutnya, kedudukan GRS sebagai parti pemerintah memberi akses lebih besar kepada sumber, selain faktor ketokohan pemimpin utama mereka.
Kajian itu juga menyebut Warisan dan BN dijangka sukar menembusi dominasi GRS kerana pengaruh mereka hanya tertumpu di kawasan tertentu, manakala Pakatan Harapan (PH) kekal kuat di kawasan bandar majoriti Cina.
Perikatan Nasional (PN) pula dilihat semakin lemah selepas sebahagian besar Adunnya menyertai GRS, dengan kekuatan hanya bertumpu kepada Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee, yang juga Ahli Parlimen Beluran.



