KOTA KINABALU — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan Pusat Pengoperasian dan Penyelamatan Gunting Lagadan, Mountain Search and Rescue (MOSAR) sebagai mercu tanda baharu memperkukuh operasi penyelamatan di Gunung Kinabalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pusat ini berfungsi sebagai pusat koordinasi utama yang akan menghubungkan pelbagai agensi berkaitan bagi meningkatkan keberkesanan operasi di kawasan berisiko tinggi, termasuk misi menyelamat di altitud tinggi.
Beliau turut berkesempatan meninjau operasi pasukan MOSAR di Gunung Kinabalu serta menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Rural Emergency Disaster Exercise (REDEX) Kinabalu 2025: High Altitude Rescue di Kinabalu Park.
“Saya dapat menyaksikan sendiri kecekapan, profesionalisme serta pengorbanan anggota MOSAR dalam memastikan keselamatan para pendaki Gunung Kinabalu sentiasa terjamin,” katanya selepas mendaki bersama pasukan penyelamat.

Beliau berkata kursus REDEX Kinabalu 2025 memberi tumpuan kepada aspek kesiapsiagaan dan kecekapan pasukan penyelamat menghadapi kecemasan di kawasan beraltitud tinggi, khususnya di Gunung Kinabalu yang menjadi destinasi ikonik negara.
“Kita amat berbangga dengan semangat juang anggota MOSAR.
“Mereka menjadi benteng keselamatan yang memastikan rakyat dan pendaki sentiasa dilindungi,” tambah beliau.



