Ilham Centre: GRS di Depan, UMNO-BN Ketinggalan – Pengundi Muda Jadi Penentu PRN Sabah

PETALING JAYA, – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal di hadapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, menurut dapatan kajian awal pra-pilihan raya oleh Ilham Centre sepanjang Jun lalu.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata kelebihan GRS terletak pada kedudukan sebagai parti pemerintah dengan akses kepada sumber, selain faktor personaliti calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Politik Sabah agak unik. Walaupun ada isu nasional seperti rasuah atau pembangunan infrastruktur, pengundi lebih menilai calon di kawasan masing-masing. Faktor personaliti dan prestasi penyandang lebih dominan dalam membentuk sokongan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Warisan, PH dan PBS-STAR kekal pengaruh di kawasan tradisi

Kajian turut menunjukkan Parti Warisan (Warisan) masih berpengaruh di Pantai Timur seperti Tawau dan Kalabakan, namun sukar menembusi kawasan Kadazan, Dusun, Murut (KDMR).

Pakatan Harapan (PH) pula kekal dengan sokongan di bandar utama termasuk Kota Kinabalu dan Sandakan. Parti Bersatu Sabah (PBS) serta Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pula lebih kukuh di kawasan KDMR.

Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pimpinan Datuk Peter Anthony juga mula mendapat perhatian, terutama dengan gerakan pemimpin seperti ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda.

UMNO-BN sukar tarik pengundi muda

Namun begitu, UMNO-Barisan Nasional (BN) dilihat terus bergelut selepas berdepan isu lompat parti dan kesukaran menarik sokongan anak muda.

Hisomudin menegaskan segmen pengundi muda berusia 18 hingga 40 tahun kini menjadi faktor penentu, malah di beberapa kawasan DUN jumlah mereka mencecah sehingga 60 peratus daripada keseluruhan pengundi.

“Segmen muda adalah kelompok atas pagar yang besar. Gagal mengurus atau meyakinkan mereka boleh membawa risiko besar kepada mana-mana parti atau calon,” jelasnya.

Faktor calon kekal penentu

Laporan Utusan Malaysia turut menjelaskan kajian ini dilakukan sebelum beberapa isu politik semasa memuncak di Sabah. Namun, calon yang diketengahkan serta prestasi penyandang kekal menjadi penentu utama kepada sokongan pengundi dalam PRN akan datang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat