KINABATANGAN, – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyindir keadaan terkini di kawasannya apabila menyifatkan Kinabatangan kini seperti “the lost world” susulan terputus komunikasi dengan dunia luar.
Dalam satu hantaran di akaun media sosialnya, Bung Moktar berkata krisis yang berlaku memberi kesan besar kepada penduduk kerana bukan sahaja bergelap tanpa bekalan elektrik, malah terputus terus hubungan komunikasi.
“Kota Kinabatangan ketika ini menjadi kawasan the lost world tidak ada komunikasi langsung dengan dunia luar,” katanya.
Krisis ini berpunca daripada kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang, yang menyebabkan menara penghantaran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tergelincir. Insiden itu menjejaskan bekalan elektrik hampir 230,000 pengguna di Pantai Timur Sabah, termasuk Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan pasukan teknikal SESB kini bekerja 24 jam tanpa henti melaksanakan usaha pemulihan. Langkah segera termasuk kerja pintasan bekalan, pemasangan menara kecemasan dalam tempoh lapan hari, serta pembinaan menara kekal sebagai penyelesaian jangka panjang.
Kerajaan Negeri turut merayu rakyat bertenang dan mendoakan agar semua usaha pemulihan dapat dipermudahkan.-SuaraTV



