KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam muncul memberikan komen di dalam laman Facebook ‘Unofficial Info’ menempelak hantaran yang menyatakan bahawa beliau seakan-akan terlibat di dalam isu melibatkan laporan RCI Tabung Haji (TH) melalui sebuah video pada tahun 2017.
Dalam komen berkenaan, beliau menafikan terbabit dalam apa juga keputusan pelaburan TH semasa itu ketika beliau menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Di laman Facebook berkenaan, gambar menunjukkan kehadiran Dr Asyraf ketika majlis memeterai perjanjian dengan syarikat pemaju hartanah bermasalah di Arab Saudi, Al-Rawda.
“Wah bersungguh-sungguh nampaknya nak burukkan dan bunuh imej saya dengan cuba kaitkan saya dengan apa juga isu Tabung Haji.
“Untuk pengetahuan, saya diminta menjadi Ketua Jemaah Haji Malaysia pada tahun 2017 menggantikan YB menteri.
“Kebetulan saya ada di Makkah, maka saya dijemput mewakili menteri menghadiri majlis tersebut,” katanya.
Dr Asyraf pada masa itu bersama dengan Pengerusi TH pada masa itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan beberapa pihak lain ketika menandatangani perjanjian lanjutan pajakan hotel di Madinah dan Mekah selama 10 tahun antara TH dan Al-Rawda.
Perjanjian awal Al-Rawda melibatkan pajakan dari 2015 hingga 2017, dengan Tabung Haji membayar 1.4 bilion riyal Arab Saudi atau kira-kira RM1.5 bilion kepada pihak perantara bagi memajak empat hotel di Mekah dan Madinah.
Al-Rawda sepatutnya mengendalikan hotel berkenaan dan membayar Tabung Haji 2.49 bilion riyal Arab Saudi sebagai hasil sewaan, namun gagal membuat bayaran mulai suku pertama 2019.
Tabung Haji kemudian merekodkan kemerosotan nilai penuh sebanyak RM1 bilion pada 2024.
Dr Asyraf berkata Timbalan Menteri tidak mempunyai kuasa terhadap operasi atau proses kelulusan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, termasuk Tabung Haji.
“Untuk pengetahuan juga, Timbalan Menteri tiada sebarang kuasa untuk terlibat dalam proses mahupun meluluskan apa jua perjalanan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri termasuk Tabung Haji,” katanya.
Beliau berkata dalam Akta Tabung Haji, pentadbiran dan operasi diuruskan oleh CEO dan pengurusan, manakala Pengerusi dan Lembaga Pengarah menjadi ‘semak dan imbang’.
Menurutnya, Pengerusi dan Lembaga Pengarah juga menentukan dasar yang meluluskan polisi utama sebelum Menteri membuat keputusan akhir setelah mendapat cadangan daripada Lembaga Pengarah dan Pengurusan.
Asyraf berkata perkara itu menjelaskan mengapa beliau tidak dipanggil memberi keterangan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau agensi penguat kuasa.
“Sebab itulah daripada awal sebagai Timbalan Menteri saya tidak pernah dipanggil hatta untuk disoal siasat samaada oleh Suruhanjaya DiRaja mahupun pihak Berkuasa samaada polis, SPRM mahupun LHDN, kerana saya bukan pihak yang punya sebarang kuasa atau terlibat secara langsung ataupun tidak.
“Bahkan Laporan RCI Tabung Haji juga tidak langsung menyebutkan dan membabitkan saya sebagai Timbalan Menteri,” katanya.


