Oleh Zihan Zari
IPOH – Kemerdekaan yang dinikmati hari ini merupakan hasil pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu yang perlu dihargai serta diteruskan oleh generasi muda melalui rasa tanggungjawab dan tindakan, kata Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak , Jenny Choi Tsy Jen.
Jenny berkata kemerdekaan yang dinikmati hari ini bukan datang dengan mudah, tetapi hasil pengorbanan dan perjuangan para tokoh terdahulu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan @PUO 2026 di Dewan Jubli Perak Politeknik Ungku Omar (PUO) dekat sini, baru-baru ini.
Menurut Jenny, program seperti ini amat penting sebagai satu bentuk penghayatan sejarah, penghargaan terhadap jasa pejuang serta penyuburan semangat cinta akan tanah air.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning menegaskan bahawa penganjuran program tersebut bukan sekadar sebuah perarakan atau pertandingan menghias kenderaan, sebaliknya menjadi platform penting untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan serta memperkukuh semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.
“Program pada pagi ini bukan sahaja sebuah perarakan atau pertandingan menghias kenderaan, tetapi merupakan platform memperkukuh semangat patriotisme, nasionalisme dan kecintaan terhadap negara, ia melambangkan kekuatan kerjasama antara pelajar, staf dan masyarakat dalam menghayati erti sebenar kemerdekaan.
“Marilah kita hayati erti kemerdekaan bukan sekadar dalam bentuk perayaan, tetapi melalui amal, tindakan dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, beliau dan Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh, menaiki pacuan empat roda mengetuai konvoi di sekitar kawasan kampus mengibarkan Jalur Gemilang bersama-sama lebih 2,000 pelajar PUO bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik dalam Perarakan Merdeka @PUO 2026 dari Astaka, Padang Kampus A menuju ke Dewan Jubli Perak PUO.
Sebanyak sembilan kereta berhias bertemakan kemerdekaan, mewakili sembilan jabatan akademik PUO, turut menyertai konvoi dengan menampilkan kreativiti dan semangat kerja berpasukan pelajar dalam menzahirkan patriotisme serta kecintaan terhadap negara.
Program turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian termasuk Bicara Merdeka, bacaan Ikrar Rukun Negara serta persembahan lagu-lagu patriotik.
Sementara itu, Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh, berkata sambutan Bulan Kebangsaan merupakan wadah penting dalam menyemai semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan mahasiswa.
Ujarnya, melalui perarakan dan pertandingan kereta berhias, pelajar diberi ruang untuk menzahirkan kreativiti, membina semangat kerja berpasukan serta menghayati nilai kemerdekaan dan perpaduan.
“Penglibatan aktif mahasiswa dalam program sebegini turut membentuk jati diri dan rasa tanggungjawab mereka sebagai generasi pewaris negara,” ujarnya lagi.
Sambutan Bulan Kebangsaan @PUO 2026 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ itu dianjurkan bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dan Sekretariat Rukun Negara (SRN) PUO, dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Perak, Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timor, Pejabat ADUN Canning, Komuniti MADANI Canning B, serta JPKK PUO.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen PUO dalam melahirkan generasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bukan sahaja berkemahiran tinggi dan berdaya saing, malah memiliki jiwa merdeka, semangat patriotisme, nilai perpaduan serta rasa tanggungjawab terhadap negara. – SUARA.TV



