KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) merampas enam ekor burung disyaki hidupan liar termasuk 4 unit sangkar dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Cheras dan Selangor semalam.
PERHILITAN dalam satu kenyatan hari ini berkata hasil operasi tersebut, ada 3 kes berasingan berkaitan jenayah hidupan liar berjaya dikesan.
“Tindakan penguatkuasaan berkenaan melibatkan penyitaan enam (6) ekor burung yang disyaki hidupan liar, terdiri daripada lima (5) ekor Sun Conure dan satu (1) ekor Merbah Luris Leher, serta empat (4) unit sangkar,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, turut disita untuk membantu siasatan ialah satu pasport Indonesia dan satu telefon bimbit.
PERHILITAN memaklumkan sudah menahan tiga orang dalam operasi berkenaan terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia.
“Kesemua individu yang ditahan serta barang kes telah dibawa ke Ibu Pejabat PERHILITAN untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM33,000,” katanya.
PERHILITAN berkata mereka akan terus mempergiat kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan berkaitan bagi membanteras jenayah hidupan liar secara bersepadu dan memastikan khazanah biodiversiti negara terus dilindungi.



