MB Johor minta agensi kerajaan jalankan semakan dan siasatan ke atas operasi Network School

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta agensi kerajaan membuat semakan ke atas operasi Network School di Forest City, Johor Bahru yang didakwa membawa ideologi dan gerakan yang bercanggah dengan undang-undang.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan negeri mengambil maklum dan memandang serius kebimbangan rakyat berhubung operasi berkenaan termasuk dakwaan ada warga Israel yang menyertai program tersebut dengan menggunakan pasport negara ke-2.

“Kerajaan Negeri meminta agar Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan serta siasatan menyeluruh terhadap identiti dan kewarganegaraan individu terlibat, dokumen perjalanan dan penggunaan pasport kedua, jenis pas serta tujuan masuk ke Malaysia dan keselarasan antara tujuan kemasukan dan aktiviti sebenar dijalankan,” kata Datuk Onn Hafiz di laman Facebooknya.

Isu Network School menjadi tular dan mendapat perhatian serius selepas timbul dakwaan penglibatan usahawan warga Israel serta kebimbangan mengenaik kedaulatan dan keselamatan negara.

Ada pengguna media sosial mendedahkan bahawa program komuniti syarikat pemula ini menarik penyertaan usahawan asing termasuk warga negara rejim Zionis itu yang didakwa masuk ke Malaysia menggunakan pasport warga negara ke-2.

Ada dakwaan proses saringan atau soalan temu duga untuk menyertai program berkenaan ada menyentuh isu politik, Israel dan teknologi ketenteraan.

Dalam kenyataan itu, Datuk Onn Hafiz turut meminta Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital dan agensi kawal selia berkaitan untuk menentukan status sebenar operasi Network School serta sama ada program dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara.

“Di peringkat negeri, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi-agensi berkaitan akan menyemak semula semua aspek pematuhan yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing, termasuk pematuhan terhadap syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta apa-apa keperluan perundangan atau peraturan lain yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau berkata sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah atau ada sebarang unsur boleh menjejaskan kepentingan dan keselamatan negara, kerajaan negeri menggesa tindakan tegas diambil pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi.

Berdasarkan profil operasi, Network School bukan sebuah sekolah akademik tetapi ia adalah sebuah komuniti kediaman persendirian dan ruang kerja bersama yang mengumpulkan pengasas teknologi, jurutera dan peniaga nomad digital dari seluruh dunia untuk membina projek digital dan mata wang kripto.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat