KUALA LUMPUR – Polis tentu tidak sesuka hati naikkan tahap kawalan keselamatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kereta kalis peluru kalau tidak ada bukti yang kuat.
Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin membangkitkan persoalan itu merujuk kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjawab dakwaan berhubung penggunaan sebuah kenderaan BMW oleh Perdana Menteri.
“Kalau tahu mengenai komunikasi dan bercakap benar, rasanya tidaklah susah sangat hendak tangani cerita Perdana Menteri naik kereta BMW kalis peluru itu. Kereta rasmi beliau sedang diselenggara (servicing); pinjam guna kereta VIP BMW yang kebetulan kalis peluru.
“Kereta BMW siri 7 kalis peluru itu kereta rasmi untuk kegunaan pembesar luar negara yang melawat Malaysia.
“Polis menasihatkan, atas sebab-sebab keselamatan, Perdana Menteri guna kereta itu sementara menunggu kereta rasmi beliau keluar dari bengkel.
“Tidak susah kan? Itu pun kalau bercakap benarlah. Tapi kalau ada cerita lain, kenalah buat alasan sebab takut keluar cerita sebenar.
“Saya bimbang sikit tetang alasan “sebab-sebab keselamatan” itu. Polis tentu tidak sesuka hati naikkan tahap kawalan keselamatan beliau kepada kereta kalis peluru kalau tidak ada bukti yang kuat,” katanya.
Menurut tokoh wartawan itu lagi, dari sudut lain pula, inilah ragam hidup “jaman edan” apabila banyak orang bertindak sebagai “wartawan warga” (citizen journalists) yang melaporkan apa saja yang mereka nampak.
“Jadi, orang dalam kategori pembesar atau selebriti (public figure) kenalah sentiasa mengagak (anticipate) yang gerak-geri mereka diekori dan disiarkan dalam media sosial.
“Orang yang tajam mata dan fikiran tentu nampak ironi dan kontradiksi Perdana Menteri menaiki kereta mewah BMW kalis peluru untuk melancarkan Proton S70 sebagai teksi di bawah Program Pembaharuan Teksi Madani,” katanya.
JPM dan Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) sebelum itu menjelaskan bahawa kenderaan tersebut adalah aset sedia ada milik BIUPA dan bukan kenderaan rasmi baharu Perdana Menteri.
JPM menjelaskan, kenderaan ini perlu memenuhi spesifikasi keselamatan yang direka untuk menahan ancaman balistik berkaliber tinggi, letupan, serta risiko keselamatan moden termasuk ancaman dron.
“Kenderaan itu dipilih untuk digunakan secara sementara oleh Perdana Menteri atas nasihat dan penilaian keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan kenderaan rasmi Perdana Menteri yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sedang menjalani penyelenggaraan,” kata JPM.


