JOHOR BAHRU – Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 terus menunjukkan peningkatan apabila mencecah 67.44 peratus setakat jam 5 petang, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Daripada keseluruhan 2,682,642 pengundi berdaftar, seramai 1,809,185 orang telah menunaikan tanggungjawab mengundi.
Peratusan itu jauh mengatasi kadar yang direkodkan pada PRN Johor 2022 pada waktu yang sama, iaitu 53.13 peratus, sekali gus mencerminkan peningkatan penyertaan pengundi pada pilihan raya kali ini.
Mengikut statistik SPR, tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mencatatkan peratus keluar mengundi tertinggi ialah Sri Medan dengan 77.2 peratus, diikuti Semarang (76.8 peratus) dan Sedili (74.3 peratus).
Sementara itu, tiga DUN yang merekodkan kadar keluar mengundi terendah ialah Perling (60.6 peratus), Stulang (60.5 peratus) dan Bekok (58.9 peratus).
Proses pengundian bagi PRN Johor ke-16 dijadualkan berakhir pada jam 6 petang di kebanyakan pusat mengundi, sebelum proses pengiraan undi dimulakan bagi menentukan pemenang di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)yang dipertandingkan.



