Tanpa tawaran manifesto di Johor, PN tetap berupaya selesaikan masalah rakyat – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak mengumumkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana keupayaan menyelesaikan masalah rakyat tidak bergantung semata-mata kepada janji pilihan raya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, ketika beliau menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri, pentadbiran ketika itu tetap mampu menangani krisis pandemik Covid-19 walaupun tiada manifesto yang menggariskan perkara berkenaan.

“Waktu saya jadi Perdana Menteri dulu tidak ada manifesto. Dalam manifesto tidak disebut pun soal Covid-19.

“Tetapi saya dapat menyelesaikan masalah Covid-19 dan kita diiktiraf antara tindakan berkesan yang terbaik di dunia. Jadi, tanpa manifesto, kita tetap beramanah dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada Ceramah Bersatu Demi Johor di Bilik Gerakan Utama PN di Parit Raja, di Batu Pahat lapor Harian Metro.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, apabila diberikan tanggungjawab, perkara utama adalah melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin, selaras dengan tuntutan agama.

Katanya, walaupun gabungan lain seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai manifesto masing-masing, terdapat pihak yang pernah menyokong PH turut mempersoalkan janji yang disenaraikan dalam manifesto gabungan itu yang didakwa masih belum terlaksana sehingga kini.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin menggesa jentera dan penyokong PN memainkan peranan memastikan lebih ramai pengundi khususnya orang Melayu, keluar mengundi Sabtu ini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod pilihan raya lalu, peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Melayu adalah lebih rendah berbanding kaum lain.

“Saya harap saudara semua menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada 11 Julai akan datang. Saya mohon kerjasama semua untuk beritahu saudara-mara, sahabat handai dan rakan yang layak mengundi supaya keluar mengundi calon PN, khususnya Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat