Anwar sudah tunaikan janjinya turunkan harga minyak – Hassan Karim sedia berdebat pertahan PM

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengakui bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengotakan janjinya menurunkan harga minyak.

Justeru Hassan menyatakan kesediaannya untuk berbahas atau berdebat dengan sesiapa sahaja terutama Ahli Parlimen Pembangkang bagi mempertahankan Anwar sudah menunaikan janji menurunkan harga minyak.

“Tetapi di dalam soal janji Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk menurunkan harga minyak, maka saya dengan rendah hati, berani mempertaruhkan diri saya untuk berbahas atau berdebat dengan sesiapa pun, terutamanya Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang yang masih menyatakan Perdana Menteri tidak mengotakan janjinya,” tegas Hassan.

Menjelaskan perkara itu, Hassan yang juga Ahli Parlimen PKR itu berkata, Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 menunggu masa sehingga berlaku krisis geopolitik di Timur Tengah, iaitu perang Amerika Syarikat- Israel ke atas Iran untuk menunaikan janjinya menurunkan harga minyak apabila beliau menjadi Perdana Menteri.

“Biarlah fakta yang bercakap. Apakah Anwar patut disalahkan atau beliau seharusnya dipuji jika sejak Februari 2026 berlakunya perang di Teluk Parsi, bekalan minyak petrol, diesel serta gas asli untuk memasak kekal mencukupi untuk kegunaan kehidupan seharian rakyat dan keperluan perniagaan serta industri?

“Selain dari Brunei Darul Salam dan Arab Saudi, tidakkah harga petrol dan Diesel di Malaysia adalah yang terendah di dunia?

“Tidakkah seluruh rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas, yang layak, tidak kira kaya atau miskin; tidak kenal kaum atau agama mereka, semuanya dilayan sama sebagai warganegara dan berhak secara automatik membeli minyak petrol RON95 bersubsidi dengan harga RM1.99 seliter dengan hanya mengemukakan kad pengenalan (MyKad) masing-masing? katanya.

Kini ujar Hassan, mulai 1 Julai 2026 harga minyak diesel bersubsidi di seluruh Malaysia, di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan boleh dibeli dengan harga subsidi RM2.10 seliter.

“Manakala harga diesel tanpa subsidi adalah RM4.07 seliter. Tidakkah ini bermakna Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menunaikan janjinya? Bukan sahaja petrol RON95 diberi subsidi malah minyak diesel juga diberi subsidi.

“Seramai 700,000 individu layak menerima diesel subsidi. Sebanyak 450,000 sektor logistik juga layak menerima diesel bersubsidi. Malah tidak ketinggalan seramai 210,000 petani dan pekebun kecil di seluruh negara menjadi penerima diesel bersubsidi.

“Dengan fakta-fakta benar yang saya bentangkan secara bertanggungjawab di atas, maka silalah jawab: Tidakkah Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri telah menunaikan janjinya selama ini untuk menurunkan harga minyak?

“Secara jujurnya saya masih bersikap kritis dan tidak bersetuju Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam masa yang sama memegang jawatan Menteri Kewangan Malaysia. Tetapi isu tersebut yang merupakan satu isu tatakelola atau governance adalah isu yang berasingan yang boleh dibincangkan di ruang yang lain,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat