YAB Perdana Menteri,
Kerajaan Malaysia wajib menolak perlantikan Nick Adam sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia. Ini bukan soal peribadi, tetapi soal kedaulatan dan maruah negara.
Perlu diingat: Malaysia sebagai negara tuan rumah mempunyai hak penuh untuk menolak mana-mana calon duta asing, tanpa perlu memberikan sebarang sebab kepada negara yang mencalonkan. Ini adalah hak yang sah di sisi undang-undang antarabangsa.
Rujukan jelas: Artikel 4(1), Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961, menyatakan:“The receiving State is not obliged to give reasons to the sending State for a refusal of agrement.”
(“Negara penerima tidak wajib memberikan alasan kepada negara penghantar jika menolak calon duta.”)
Oleh itu, kerajaan Malaysia berhak dan WAJIB menggunakan hak ini untuk menolak perlantikan Nick Adam sekiranya beliau mempunyai rekod, pendirian, atau kecenderungan yang boleh mengancam kepentingan negara, meresahkan rakyat, atau mencabar nilai budaya dan agama di Malaysia.
Kita tidak mahu duta yang datang dengan agenda tersembunyi, tangan bersarung sut tetapi membawa pisau di sebalik senyuman. Diplomasi bukan tiket untuk campur tangan dalam urusan dalaman negara ini.
Kami mendesak Kerajaan Malaysia menegakkan kedaulatan tanpa kompromi. Jangan biarkan pihak asing menentukan siapa yang boleh keluar masuk sebagai wakil mereka di negara kita!
-Rakyat Malaysia-
Helme Hanafi
Bangi, Kajang Selangor
14/7/2025



