Puchong,– Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Puchong sabtu lalu menjadi medan memperteguh iltizam perjuangan apabila Ketua Pemudanya, Khairul Azmil bin Bashir Mohamed, menyampaikan ucapan tegas mempertahankan maruah parti serta menyatakan sokongan penuh terhadap tiga pemimpin utama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi UMNO Selangor Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, dan Ketua UMNO Bahagian Puchong Mohamad Satim Diman.
Ucapan beliau turut meraikan kehadiran Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Ridhwan Tun Mohd Ali, yang hadir dari Melaka selaku perasmi. Mohd Ridhwan disifatkan sebagai tokoh teknokrat dan pemimpin belia nasional yang membawa inspirasi kepada generasi muda UMNO.
Namun yang paling mencuri perhatian ialah ketegasan Khairul Azmil terhadap tindakan sebuah parti dalam kerajaan perpaduan yang didakwa cuba menarik masuk ahli UMNO ke dalam parti mereka. Beliau menyifatkan perbuatan tersebut bukan sahaja tidak bermoral, tetapi juga bercanggah dengan semangat dan etika kerjasama dalam gabungan.
“Benar, ini negara demokrasi. Tetapi dari segi moral dan kesetiaan dalam gabungan, tindakan mengambil ahli dari parti gabungan lain adalah tidak wajar. Kalau kamu ajak dia laungkan slogan ‘lawan tetap lawan’, kamu hendak lawan siapa?” katanya dengan nada tegas.
Beliau turut merujuk ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 30 Jun lalu yang menyatakan bahawa tiada kewajaran untuk parti-parti dalam kerajaan perpaduan mengambil ahli dari kalangan parti gabungan lain kerana ia boleh menimbulkan prasangka dan ketidakharmonian dalam pentadbiran.
Dalam ucapannya, Khairul Azmil juga mengangkat semangat perjuangan sebagai nadi kekuatan UMNO, mengingatkan bahawa parti itu tidak lahir dari kemewahan, tetapi dari keringat dan jerih pejuang bangsa.
“Kita bukan anak manja politik yang lari bila kalah. Kita lahir dari jerih peluh para pejuang. Kalau UMNO rebah, UMNO bangkit. Kalau dikhianati, UMNO lawan.”
Pemuda UMNO Bahagian Puchong turut menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Ahmad Zahid yang dianggap sebagai wira penyelamat UMNO pasca PRU-15, selain menyokong kepimpinan Megat Zulkarnain di peringkat negeri dan Mohamad Satim sebagai tonggak UMNO Puchong.
Mesyuarat ini turut mencatat sejarah apabila Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Puchong bersidang bersama buat julung kali, melambangkan kekuatan serta perpaduan akar umbi.
“Bangkit bukan untuk pangkat, tapi untuk umat. Bangkit bukan kerana dendam, tapi kerana cinta kepada perjuangan bangsa,” ujar Khairul Azmil menutup ucapannya dengan laungan “Hidup UMNO!” yang bergema di seluruh dewan.



