CYBERJAYA – Lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk kali ketiga di bawah kerajaan perpaduan Madani, menimbulkan keraguan serius terhadap kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi rasuah, menurut ahli ekonomi politik terkemuka, Prof Dr Edmund Terence Gomez.
Memetik Malaysiakini, Gomez yang juga Pengerusi Lembaga Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center), menyatakan bahawa lanjutan tersebut bertentangan dengan prinsip yang selama ini dipegang oleh Anwar dan Pakatan Harapan (PH), iaitu komitmen mereka terhadap ketelusan dan integriti pentadbiran.
“Kalau seseorang itu benar-benar serius mahu memerangi rasuah, kenapa mengekalkan seorang individu yang sedang berdepan tuduhan berat sebagai Ketua SPRM?” soal Gomez ketika berucap pada majlis pelancaran bukunya hari ini.
“Malah, keputusan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam hanya memburukkan lagi persepsi umum terhadap kerajaan. Ia mencacatkan kredibiliti pentadbiran Anwar yang kononnya berjuang menentang rasuah,” katanya lagi.
Gomez turut melahirkan rasa terkejut dengan keputusan lanjutan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai satu tindakan yang menjejaskan imej kerajaan yang berulang kali mendakwa mahu membanteras salah guna kuasa.
Beliau menyampaikan kenyataan itu dalam majlis pelancaran bukunya bertajuk “Misgovernance: Grand Corruption in Malaysia”, yang dianjurkan bersama oleh C4 Center dan Gabungan untuk Integriti Perniagaan. Difahamkan, seorang wakil SPRM turut hadir dalam acara tersebut.
Gomez turut menyeru agar reformasi institusi disegerakan bagi memastikan kebebasan sebenar SPRM dalam menjalankan siasatan dan pendakwaan tanpa campur tangan politik.
Tambah beliau, sebahagian rakyat mula melihat SPRM sebagai alat “pendakwaan terpilih” terhadap individu yang tidak sehaluan dengan kerajaan semasa.