Lan Pet Pet menjauhi Senario?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sempena bulan mulia, pelakon dan pelawak popular, Yassin Yahya, 44, berharap salah seorang anggota kumpulan, Lan Pet Pet terbuka hati menyertai program membabitkan Senario.

Yassin yang juga anggota Senario itu berkata, mereka sangat rindu untuk bekerjasama seperti dahulu.

“Saya mengambil kesempatan dalam bulan murni ini. Saya mohon ampun dan maaf kepada anggota kumpulan Senario, terutamanya Lan.

“Semoga Allah membuka pintu hatinya bersama-sama membabitkan diri dengan program ‘reunion’ Senario yang akan datang, walaupun tidak semua, memadai hanya satu atau dua program.

“Saya percaya dengan permohonan ini, Lan pastinya akan terbuka hati. Saya yakin Lan akan buat ‘comeback’,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, filem Jaga-Jaga Senariunion menghimpunkan semula barisan anggota asal Senario iaitu Yassin, Wahid, Azlee, Saiful Apek, Hamdan dan Ilya, kecuali Lan Pet Pet.

Pihak produksi sudah menghubungi Lan, namun atas komitmen kerja, Lan terpaksa menolak tawaran projek itu.

Watak Lan dalam filem yang menjalankan penggambaran pada Disember lalu itu diganti oleh pelakon lain.

Tambah Yassin, mereka mengharapkan Lan turut serta, tetapi dalam masa sama, memahami komitmen kerjanya.

“Dalam filem Jaga-Jaga Senariunion memang sepatutnya Lan ada. Dia sepatutnya ada dalam apa sahaja program yang membabitkan Senario, tetapi kita faham mungkin dia terlalu sibuk dengan perniagaannya.

“Sebagai kawan, kami mengharapkan rakan-rakan ada dalam setiap projek ‘reunion’ Senario, untuk memperkenalkan kami pada generasi baharu,” katanya.

Ditanya sama ada timbulnya perselisihan faham, Yassin berkata, dia tidak tahu menahu.

“Kena tanya Lan. Jujurnya, sampai sekarang saya tidak tahu apa puncanya. Bila berjumpa, tiada apa-apa pun.

“Sememangnya, kami mengajak Lan untuk bersama sejak konsert terbitan RTM lagi.

“Apa sahaja tawaran, kami akan kemukakan pada ahli lain. Tetapi, untuk filem kami kena teruskan tanpa Lan.

“Ini kerana rakan artis dan kru yang pernah bekerjasama dengan Senario sebelum ini turut terbabit.

“Jadi, kami tidak boleh tunggu Lan. Nak atau tidak, kami kena teruskan,” katanya.

 

Yassin bersama isteri dan anak perempuannya.
Yassin bersama isteri dan anak perempuannya.

 

Yassin berkata, penggambaran filem berkenaan sangat menyeronokkan dan dapat mengubati rindu kepada ramai rakan-rakan yang sudah sekian lama tidak bersua.

Selain Senario, filem itu turut dibarisi pelakon lain seperti Syanie, Prono, Am Raja Lawak, Farisha, Badrul Shah dan Bobby Kiran.

Sementara itu, Yassin berkata, dia menerima banyak tawaran, sama ada secara solo ataupun bersama Apek selepas menyertai program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim kelapan.

“Alhamdulillah, tawaran diterima tidak putus. Antaranya, membintangi filem Hantu Tenggek seterusnya drama episod, Tiga Otai Kolej serta telefilem Tujuh Hari Sebelum Nikah.

“Selain itu, saya buat kali pertama diberikan kepercayaan membawakan hero menerusi telefilem Personal Shopper. Saya cuba ambil mana yang saya boleh sebab saya rasa inilah masa yang sesuai untuk saya berhabisan-habisan selepas keluar GV8.

“Saya tidak boleh duduk diam sebab sudah terlalu lama berdiam,” katanya yang juga akan tampil dengan program muzikal, Sejenis Senario Reunion.

Yassin ditemui pada majlis perasmian Pink Bazar Ramadan di pusat beli-belah Publika, baru-baru ini.

Menerusi Pink Bazar Ramadan yang berlangsung antara 5 hingga 13 April itu, Yassin menjual beberapa cenderahati Allahyarham Sudirman Arshad dan pakaian sempena Hari Raya Aidilfitri.

Turut membantu, isterinya, Farah Waheeda Maharidan dan anak perempuan, Putri Aulia Zawarda.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat