‘Anzalna degil nak bekerja’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Andai tiga tahun lalu, kehadiran Aidilfitri cukup bermakna buat pelakon jelita, Anzalna Nasir dan suami, Mohamad Hanif Zaki apabila menyambut kehadiran cahaya mata pertama, Mohamad Eidrees Mohd Hanif.

Kini, pasangan sama cantik, sama padan itu sekali lagi bakal menyambut kehadiran ‘orang baru’ ketika umat Islam sibuk meraikan Syawal, tahun ini.

Anzalna, 34, yang kini sedang sarat mengandung lapan bulan dijangka melahirkan anak kedua pada Syawal, tidak lama lagi.

Katanya, dia teruja menyambut kehadiran anak kedua dalam keluarga kecilnya selepas hampir tiga tahun tidak hamil.

Namun, pelakon yang mencuri perhatian menerusi drama Memori Cinta Suraya dan Dendam Aurora itu belum bersedia mendedahkan jantina bayi dikandungnya kerana ingin memberikan kejutan kepada keluarga.

Wanita kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu pernah memberi bayangan perlu berehat dalam Instagram (IG) dan tidak dapat menyertai misi bantuan banjir, Disember lalu berikutan keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Bagaimanapun, Anzalna enggan mengulas spekulasi hamil ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung Loveta X Anzalna pada Januari lalu.

Anzalna menjelaskan, dia tidak berniat merahsiakan mengenai berita kehamilan, sebaliknya menantikan masa sesuai untuk berkongsi kegembiraannya.

“Sebenarnya, saya tidak berniat merahsiakan kehamilan. Cuma, saya menantikan waktu sesuai untuk berkongsi.

“Soal jantina anak, saya dan suami sudah tahu jantina bayi yang bakal dilahirkan.

“Namun, buat masa ini, biarlah rahsia dahulu. Saya belum bersedia mendedahkannya kerana ingin membuat kejutan kepada keluarga dan teman rapat. Biarlah mereka berteka-teki,” katanya kepada BH Online.

 

Bukan tamak, sebaliknya Anzalna pilih tawaran berbaloi dalam keadaan sarat ‘mengusung perut’. - Foto IG Anzalna Nasir
Bukan tamak, sebaliknya Anzalna pilih tawaran berbaloi dalam keadaan sarat ‘mengusung perut’. – Foto IG Anzalna Nasir

 

Sementara itu, Anzalna yang menunggu hampir tiga tahun untuk memiliki Eidrees yang bakal meraikan ulang tahun ke-3 pada 31 Mei depan berkata, dia bersyukur rezekinya semakin mencurah-curah sejak hamil anak kedua dan sesudah berhijab.

Namun, katanya, dia hanya mampu menerima tawaran kerja benar-benar berbaloi dan bersesuaian. Jika diikutkan, suaminya yang usahawan keberatan membenarkannya bekerja berikutan keadaan yang kini sarat mengandung.

Tetapi, katanya, Hanif akhirnya memberikan keizinan dengan bersyarat hanya untuk beberapa kempen sahaja.

“Sebenarnya, suami tidak izinkan saya bekerja. Hanif mahu saya duduk di rumah, tetapi saya agak degil.

“Selepas beberapa kali memujuk suami, Hanif akhirnya mengizinkan saya untuk bekerja, tetapi hanya menjayakan beberapa kempen sahaja.

“Saya akui diberikan limpahan rezeki selepas bertudung dan hamil anak kedua. Tetapi, tidak semua tawaran diterima, sebaliknya memilih mengikut kesesuaian dan benar-benar berbaloi,” katanya.

Mengulas bagaimana penerimaan anak sulungnya yang bakal menerima adik, tidak lama lagi, Anzalna berkata, Eidrees sudah faham dirinya bakal menjadi abang.

Sejak kehadiran Eidrees, Anzalna membuat keputusan untuk memperlahankan kerjaya seninya. Wajahnya tidak lagi kelihatan di kaca televisyen (TV) kerana ingin memberikan tumpuan membesarkan cahaya mata berikutan bukan mudah untuk mendapatkan Eidrees.

Selain itu, Anzalna lebih gemar membesarkan anaknya sendiri berbanding meminta bantuan pembantu rumah kerana ingin melihat Eidrees membesar sendiri depan matanya selain tidak mempercayai pembantu.

Anzalna mendirikan rumah tangga dengan Hanif pada 21 Februari 2016. Mula mencipta nama dalam bidang seni selepas menyertai pencarian bakat Dewi Remaja bagi edisi 2009/2010.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat