JAKARTA — Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) masih menilai video viral Warga Negara Indonesi (WNI) di London yang dikatakan tidak dapat menggunakan hak memilih pada Pemilu 2024.
Calon Presiden Indonesia, Anies Baswedan berkata beliau percaya Bawaslu mampu menjalankan tugas dengan baik.
Menurutnya masyarakat Indonesia juga mengikuti proses pilihanraya yang diadakan sejak awal sehingga pemungutan suara atau buang undi diadakan.
“Kita mendengar laporan itu dan kami percaya Bawaslu akan mengawasinya, reviewnya.
“Kerana hari ni semua org memegang telefon dan seluruh warga ikut mengawasi, jadi saya percaya akhirnya segala macam hal yang sifatnya irregular, pasti akan ketahuan dan Insyallah bisa dikoreksi,” katanya kepada wartawan SuaraTV.
Sebelum ini, viral satu video seorang WNI mengatakan dirinya tidak dapat menggunakan hak memilih dengan alasan surat suara telah pun habis.
Selain itu, Bawaslu juga melaporkan hal yang sama terjadi di Arab Saudi apabila seorang WNI menyatakan surat suaranya telah ditandai sebelum mengundi.
Anies Baswedan ditemui selepas selesai mengundi sempena Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 di Pusat Pengundian Lebak Bulus 60 hari ini.
Beliau turut menyantuni 15 wartawan daripada pelbagai agensi berita Malaysia yang menyertai Program Jejak Serumpun Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia di Jakarta bermula 12 Feb sehingga 21 Feb 2024.