UEC bertentangan dengan Dasar Pendidikan Nasional – Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR,– Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpendapat Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) serta tidak selari dengan Dasar Pendidikan Nasional (DPN)

Mahdzir juga berpendapat UEC tidak berpaksikan kepada teras Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang digariskan secara jelas dalam Akta 550, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap desakan berterusan supaya sijil berkenaan diiktiraf oleh kerajaan.

“Bagi saya, pihak-pihak yang mendesak kerajaan supaya mengiktiraf UEC ini perlulah membaca, memahami dan menghayati terlebih dahulu Akta 550 sebelum membuat sebarang tuntutan. Asas kenegaraan dan perundangan tidak boleh dipinggirkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahdzir menegaskan, tuntutan pengiktirafan UEC yang dibuat secara berterusan mencerminkan sikap tidak matang dan semberono, lebih-lebih lagi apabila ia bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau turut menyeru pemimpin-pemimpin politik khususnya daripada DAP serta pejuang-pejuang UEC supaya menghormati Akta 550 dan mengutamakan kepentingan nasional dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan negara.

“Isu pengiktirafan UEC tidak sepatutnya terus dibangkitkan sekiranya semua pihak benar-benar menghormati akta yang telah termaktub secara terang dan jelas,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahdzir mempersoalkan keperluan mendesak untuk mengiktiraf UEC sedangkan kerajaan telah lama mengiktiraf sijil antarabangsa lain seperti O-Level dan IGCSE.

“Apa keperluan mendesak UEC untuk diiktiraf sedangkan pilihan lain yang bertaraf antarabangsa sudah tersedia dan diiktiraf sejak sekian lama?” soalnya.

Beliau turut menegaskan bahawa UEC tidak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan kerana kandungan silibusnya, khususnya subjek Sejarah, lebih berfokus kepada sejarah China dan Asia Timur, berbeza dengan silibus Sejarah Malaysia yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain itu, UEC tidak menggunakan Kurikulum Kebangsaan serta tidak menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama, sebaliknya menggunakan Mandarin. UEC juga, menurut beliau, tidak dipantau atau diseragamkan oleh KPM seperti sekolah swasta lain.

“Bagaimana kerajaan mahu mengiktiraf UEC jika semua ini jelas melanggar dan tidak selari dengan Akta 550? Jangan kerana kepentingan atau laba politik, UEC terus dijadikan modal,” tegasnya.

Mahdzir mengingatkan bahawa pelaksanaan UEC seharusnya kekal sebagai sistem persendirian tanpa menuntut pengiktirafan negara, sambil memberi amaran agar isu itu tidak terus menjadi barah yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat.

“Jangan sampai ia diharamkan terus sekiranya dilihat merosakkan asas perpaduan negara,” katanya.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat