Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), melalui Jawatankuasa National Undergraduate Engineering Talent (NUET), telah berjaya menganjurkan Siri Kuliah Engineers in Society (EIS) buat julung kali dalam dua sesi webinar pada 22 dan 29 November lalu menerusi Zoom dan You Tube Live.
LJM dalam kenyataan berkata program ini disertai hampir 4,000 pelajar kejuruteraan dan ahli akademik dari seluruh negara, menjadikannya salah satu penglibatan paling signifikan LJM dengan institusi pengajian tinggi.
“Ia mencerminkan minat generasi muda terhadap profesion kejuruteraan serta kesedaran mereka terhadap tanggungjawab jurutera dalam dunia yang semakin kompleks.
“Siri Kuliah EIS 2025 bertujuan memperluas pemahaman pelajar tentang profesion kejuruteraan dengan menekankan amalan etika, tanggungjawab profesional, serta laluan kerjaya jurutera profesional,”kata kenyataan itu.
“Program ini juga membawa objektif agar graduan bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab terhadap masyarakat, kepentingan berdaftar dengan LJM dan penekanan aspek keselamatan awam, alam sekitar dan kelestarian dalam bidang kejuruteraan.
“Kandungan kuliah disampaikan melalui empat modul utama iaitu Kerjaya Kejuruteraan, Amalan Kejuruteraan di Malaysia, Etika Kejuruteraan, Jurutera dan Dunia yang menghubungkan pengetahuan akademik dengan pengalaman sebenar profesional kejuruteraan,”katanya.
“Dalam pada itu, beberapa inisiatif susulan akan dilaksanakan, termasuk Sesi Ceramah Industri, mekanisme pendaftaran ahli Panel Penasihat Industri, serta Pertandingan Inovasi bagi pelajar Projek Tahun Akhir (FYP) dan Projek Reka Bentuk Bersepadu (IDP).
“Inisiatif ini melengkapkan pendidikan formal dengan peluang penglibatan industri, pendedahan praktikal dan pembangunan kemahiran profesional.
“Selaras dengan keperluan negara untuk memenuhi permintaan tenaga kerja kejuruteraan, LJM berharap inisiatif seperti ini dapat menggalakkan graduan untuk terus memilih kerjaya kejuruteraan dan kekal dalam profesion, sekali gus mengurangkan kecenderungan beralih ke bidang lain.
“Pemerkasaan dan kesinambungan bakat kejuruteraan amat penting bagi menyokong agenda pembangunan negara, ”katanya lagi.
“LJM juga sentiasa beriltizam membangunkan kemahiran serta keupayaan jurutera dan jurutera teknologis masa depan serta
terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan rakan industri bagi memastikan bakat kejuruteraan Malaysia bersedia menghadapi cabaran masa hadapan dan kekal kompetitif di peringkat global, ”tambah kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Pengerusi Jawatankuasa NUET, Datuk Ir. Dr. Rahim Hashim berkata siri kuliah ini direka untuk menunjukkan bahawa kejuruteraan bukan sekadar kepakaran teknikal. Ia melibatkan tanggungjawab, akauntabiliti, dan impak keputusan kita terhadap masyarakat serta alam sekitar.
“Saya teruja melihat penyertaan yang tinggi dan minat mendalam daripada pelajar, mereka adalah generasi profesional yang akan membentuk masa depan negara, ”katanya. – SUARA.TV



