CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump bagi membincangkan beberapa isu penting termasuk konflik di sempadan Kemboja–Thailand, hubungan dua hala serta isu-isu global yang menjadi kepentingan bersama.
Menurut Anwar, dalam perbualan tersebut beliau menjelaskan peranan aktif Malaysia dalam menggesa kedua-dua negara yang terlibat agar menahan diri serta kembali ke meja rundingan melalui dialog dan mekanisme dua hala serta kerangka ASEAN.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan ketegangan, melindungi keselamatan orang awam serta memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik yang menjadi asas ASEAN.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar berkata Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai perkembangan semasa dan menyokong langkah penyaheskalasian konflik.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan terhadap keterlibatan aktif Amerika Syarikat dalam ASEAN serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia dalam memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.



