KIMIA Malaysia turun padang pupuk minat masyarakat terhadap bidang sains, kimia

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menghargai usaha Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia) yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi tinggi dalam menjayakan Program Kampung Angkat Madani dan Program Kimia ke Desa selari dengan hasrat untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar melalui pendekatan ‘whole -of-government’ (seluruh kerajaan) dan ‘whole-of-society’ (seluruh masyarakat), kata Setiausaha Politik kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Simon Ooi Tze Min.

Beliau yang mewakili Menteri MOSTI, Chang Lih Kang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Program KKampung Angkat Madani , Sekolah Angkat Madani KIMIA Malaysia, dan Program Kimia ke Desa di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah KIMIA Malaysia, ChM Marhayani Md Saad; Pegawai Daerah Kota Setar, Dato’ Hj. Hakim Ariff Md Noor; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) KIMIA Malaysia, ChM Hj. Khairul Anuar Abdul Aziz; Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan MOSTI, Ooli Gunalan a/l Manickam; dan Pengarah KIMIA Malaysia Negeri Kedah, ChM Muhamad Hasirun Khalid.

Simon berkata Program Kimia Ke Desa merupakan platform penting untuk membawa bidang sains, khususnya kimia kepada masyarakat supaya mereka dapat melihat sendiri bahawa bidang itu bukanlah sesuatu yang sukar.

Katanya, program ini dapat memberikan pendedahan tentang keselamatan bahan kimia dan pemeliharaan alam sekitar kepada penduduk setempat serta membuka ruang dan peluang kepada anak-anak muda menanam minat dalam bidang berkenaan, terutamanya kimia.

Terdahulu, Ketua Pengarah KIMIA Malaysia, ChM Marhayani Md Saad berkata perjalanan kedua-dua program itu telah bermula seawal Januari 2025 bersama-sama wakil komuniti dan KIMIA Kedah.

“Program ini adalah tanggungjawab sosial yang dekat di hati serta memberikan ruang kepada jabatan untuk turun padang, mendengar sendiri keperluan komuniti dan menggunakan kepakaran yang ada untuk manfaat kepada masyarakat, ”katanya.

Katanya lagi, melalui Program Kimia ke Desa membawa bidang sains, khususnya kimia lebih dekat kepada murid sekolah dan ibu bapa dengan pelbagai program dan aktiviti dijalankan yang dapat memupuk minat mereka dengan lebih mendalam terhadap bidang sains dan kimia.

“Semua program yang dilaksanakan ini dapat memberikan manfaat berpanjangan kepada penduduk kampung dan sekolah, sekali gus menyumbang kepada kemenjadian murid, ”ujarnya.

Dalam pada itu, Kampung Terong Asam dekat sini, dipilih sebagai Kampung Angkat Madani telah mendapat peruntukan sebanyak RM1 juta untuk pembangunan infrastruktur, kemudahan asas, termasuk baik pulih surau, masjid dan jalan kampung, pembinaan dewan terbuka dan pagar kubur, pemasangan lampu jalan solar serta program komuniti.

Manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar, dipilih sebagai Sekolah Angkat Madani di bawah KIMIA Malaysia telah diberikan peruntukkan sebanyak RM100 ribu bertujuan untuk menaik taraf kemudahan pembelajaran serta prasarana sekolah dan pembangunan pelajar.

Pejabat Daerah Kota Setar merupakan agensi pelaksana utama bagi kedua-dua projek ini.

Sempena majlis ini turut dibuka reruai pameran pelbagai agensi iaitu dari Pasukan CBRNe KIMIA Malaysia, KIMIA Kedah, Planetarium Negara, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Politeknik Sultan Abdul Halim, Muadzam Shah (POLIMAS).

Selain itu, Pameran Bas Bergerak dari Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara, Saringan Kesihatan percuma dari ‘Wellness On Wheels’ (WOW) Alor Setar, kaunter bergerak dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan Jualan Rahmah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup Negeri Kedah (KPDN).
-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat