KUALA LUMPUR- FELDA diberi tempoh sehingga akhir bulan ini untuk menjelaskan bayaran perkongsian keuntungan membabitkan penerokaan tanah milik kerajaan negeri sejak 40 tahun lalu.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim, berkata jika gagal menjelaskan 30 peratus hasil keuntungan kasar dalam tempoh itu, kerajaan akan mengeluarkan notis mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965, atas kesalahan menceroboh 15,000 hektar tanah milik kerajaan.
Katanya, tindakan pengeluaran notis sebelum proses penyitaan tanah itu akan dilakukan jika FELDA gagal membuat pembayaran hasil keuntungan kasar selepas lebih 40 tahun tanah berkenaan diusahakan dengan tanaman sawit.
“Kerajaan negeri menawarkan 30 peratus daripada keuntungan kasar sejak April tahun lalu, tetapi FELDA masih belum mengemukakan sebarang angka cadangan untuk penyelesaian.
“Sejak April tahun lalu hingga sekarang, bukan saja tiada maklum balas rasmi diberikan, malah kerajaan negeri belum menerima minit mesyuarat lembaga pengarah seperti dijanjikan,” katanya di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kuala Terengganu lapor BH pada Khamis.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, mesyuarat terakhir antara kerajaan negeri dan pengurusan FELDA diadakan pada awal bulan lalu, tetapi gagal mencapai keputusan kerana mereka tidak membentangkan sebarang angka kepada Lembaga Pengarah.
Beliau berkata, kerajaan negeri hanya menuntut hasil perkongsian keuntungan membabitkan 10 ladang yang diusahakan dengan tanaman sawit oleh FGV seluas kira-kira 15,000 hektar.
Bagaimanapun, katanya, tuntutan dan tindakan pengeluaran notis sebelum penyitaan dilakukan tidak membabitkan tanah rancangan peneroka.
“Kita hanya menumpukan kepada penyelesaian melalui perkongsian keuntungan tanpa menjejaskan hak peneroka.
“Kita juga sudah memberi kelonggaran kepada FELDA termasuk bersetuju dengan tempoh 40 hari, walaupun mereka pada awalnya memohon 60 hari,” katanya.
Dr Azman berkata, tindakan penampalan notis atas kesalahan menceroboh tanah kerajaan akan dikeluarkan jika FELDA masih mendiamkan diri dan tiada cadangan dikemukakan terutama membabitkan pembayaran hasil keuntungan.
Katanya, tanah milik kerajaan negeri diusahakan FELDA sejak 1985 membabitkan kawasan seluas 14,791 hektar, termasuk Ladang FGV Setiu 1 seluas 1,742 hektar.
“Tanah itu sudah melalui proses tanam semula dan diusahakan tanpa sebarang bayaran premium, cukai tanah atau perkongsian keuntungan kepada kerajaan negeri.
“Kita menegaskan tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak milik tanah negeri yang dimajukan tanpa dokumen hak milik sah sejak puluhan tahun lalu,” katanya.



