Oleh Zihan Zari
ARAU – Hanya wakil individu atau syarikat yang berdaftar sebagai Perantara Berdaftar serta mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dibenarkan dan layak menjalankan urus niaga bagi pihak pelanggan di semua pejabat dan cawangan JPJ bermula 1 Januari depan.
Pendaftaran Perantara Berdaftar akan dibuka secara dalam talian, mulai 1 November ini dan pemohon yang diluluskan akan diberikan pengenalan rasmi digital dengan tempoh sah laku selama dua tahun, tertakluk kepada syarat dan peraturan jabatan, kata Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly Ramli.
Katanya, mana-mana wakil atau ‘runner’ yang membawa pelanggan dan menjalankan urus niaga bagi pihak mereka di JPJ diwajibkan memiliki ID Perantara Berdaftar yang sah dengan JPJ dan tanpa ID berkenaan, mereka tidak dibenarkan menjalankan sebarang urus niaga
“Ketetapan ini antara langkah proaktif JPJ dalam mengawal selia aktiviti perantara yang mewakili pelanggan dengan lebih teratur, telus dan berintegriti.
“JPJ tidak mempunyai sebarang ikatan atau hubungan perniagaan dengan mana-mana Perantara Berdaftar dan tidak bertanggungjawab atas sebarang kerugian atau pertikaian yang timbul daripada urusan persendirian dengan pihak berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan dan digalakkan berurusan secara terus melalui aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ atau kaunter rasmi JPJ bagi memastikan urus niaga lebih selamat, telus dan terjamin, serta berwaspada bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini, ”katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kaunter JPJ Perlis di Kompleks JPJ Negeri Perlis, dekat sini pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah Kewangan & Perolehan JPJ, Syarina Kassim; Pengarah Pelesenan Kenderaan JPJ, Khairil Anuar Karim; Pengarah Korporat & Perancangan Strategik JPJ, Ong Ling Loong; Pengarah Pelesenan Pemandu JPJ, Mohd Kamal Hisham Abu Bakar; Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi; Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam; dan Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail.
Dalam perkembangan sama, JPJ akan terus memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan menerusi Projek Naik Taraf Kaunter JPJ Negeri Perlis dengan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
Aedy Fadly berkata, projek naik taraf melibatkan kaunter Bahagian Penguatkuasa, Pelesenan Pemandu dan Pelesenan Kenderaan dengan penyediaan kemudahan yang lebih moden, selesa dan kondusif kepada kira-kira 400 pelanggan setiap hari.
Ujarnya, naik taraf ini turut memberikan wajah baharu kepada imej perkhidmatan JPJ Negeri Perlis, malah menyediakan persekitaran kerja yang lebih teratur dan berkualiti kepada warga kerjanya dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Usaha ini mencerminkan komitmen JPJ dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta mengutamakan keselesaan rakyat,”ujarnya lagi – SUARA.TV



