Setiausaha Akhbar Zahid kemuka 10 hujah jawab desakan DAP dakwa semula Zahid

KUALA LUMPUR – Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Fadzmel Fadzil tampil mengemukakan 10 hujah menjawab persoalan desakan DAP supaya mendakwa semula Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tegas Fadzmel, dakwaan DAP mengenai 47 pertuduhan rasuah membabitkan Zahid adalah tidak tepat.

Menurut Fadzmel, hanya lapan pertuduhan melibatkan rasuah.

“Malah, dalam tuduhan rasuah ini pun keterangan dan hujah pembelaan sangat jelas iaitu wang disalurkan kepada Yayasan Akalbudi atau melalui peguam, bukan terus ke akaun peribadi Zahid.

“Dana digunakan untuk tujuan kebajikan termasuk pembinaan masjid dan operasi madrasah.

“Beberapa saksi pendakwaan sendiri menyatakan wang berkenaan merupakan sumbangan politik atau kebajikan, bukannya rasuah.

“Perkara ini wajar dilihat bersama keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Januari 2026 bahawa bukti tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan apatah lagi nak dikaitkan dengan rasuah.

“Justeru, isu ini perlu dinilai berdasarkan keseluruhan proses yang telah dilalui Zahid, termasuk keputusan mahkamah pada September 2023, siasatan tambahan SPRM dan keputusan NFA oleh AGC pada Januari 2026.

“Keputusan pendakwaan mesti dibuat berdasarkan bukti dan undang-undang. Jika terdapat desakan untuk mengemukakan pertuduhan semula, asas bukti dan justifikasi undang-undangnya juga mesti dinyatakan dengan jelas – bukan semata-mata bermotifkan politik,” kata beliau sambil mengingatkan jangan jadi DAP.

Fadzmel menyatakan, kuasa pendakwaan terletak pada Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberikan Peguam Negara budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan sesuatu pendakwaan.

Katanya, mana-mana pihak politik boleh mempersoalkan keputusan tersebut, tetapi tidak mempunyai kuasa mengarahkan pertuduhan dikemukakan semula.

Bahkan menurut beliau Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menegaskan kebebasan Peguam Negara.

“PMX telah menjelaskan bahawa keputusan memohon DNAA dibuat oleh Peguam Negara secara bebas berdasarkan pertimbangan pendakwaan. Prinsip yang sama sewajarnya dihormati tanpa mengira individu yang terlibat.

“Keputusan DNAA telah melalui proses kehakiman – pada 4 September 2023, Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan DNAA selepas mempertimbangkan alasan pihak pendakwaan. Mahkamah mempunyai kuasa untuk meneliti permohonan tersebut dan tidak terikat untuk meluluskannya secara automatik.

“Selain itu, Zahid menggunakan saluran undang-undang yang sah.Pengemukaan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara merupakan hak yang tersedia kepada tertuduh. Representasi pihak pembelaan telah membawa kepada penelitian lanjut terhadap bukti dan isu berkaitan pendakwaan.

“Perkembangan paling penting ialah keputusan NFA pada Januari 2026. Selepas siasatan tambahan SPRM dan penelitian terhadap representasi pembelaan, Jabatan Peguam Negara mengumumkan keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) pada 8 Januari 2026 kerana bukti tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan. Keputusan ini mesti diambil kira sebelum sebarang desakan mendakwa semula dibuat,” jelasnya.

Sementara itu menurut Fadzmel, isu yang dibangkitkan dalam memoir bekas Peguam Negara Tommy Thomas juga pernah menjadi sebahagian daripada alasan permohonan DNAA.

“Sebarang persoalan berkaitan pengendalian pendakwaan terdahulu wajar diteliti berdasarkan dokumen dan bukti. Status cadangan RCI perlu dipastikan sebelum dijadikan asas hujah.

“Oleh itu, pendakwaan semula mesti berasaskan bukti yang kukuh, bukan desakan politik.

“Mengemukakan semula pertuduhan tanpa asas keterangan yang mencukupi berisiko membazirkan masa mahkamah, sumber penguatkuasaan dan wang pembayar cukai.

“Kebebasan institusi pendakwaan mesti dipertahankan.Desakan politik tidak boleh menggantikan proses siasatan SPRM dan pertimbangan AGC. Pada masa yang sama, keputusan pendakwaan tetap perlu dihormati.

“Kes Lim Guan Eng pada 2018 juga melibatkan penarikan balik pertuduhan.Dalam kes pembelian banglo, pihak pendakwaan memohon DNAA selepas meneliti representasi pembelaan, namun Mahkamah Tinggi memberikan pembebasan penuh. Kes ini menunjukkan bahawa representasi dan budi bicara pendakwaan turut digunakan dalam kes melibatkan pemimpin politik lain, walaupun fakta kedua-dua kes berbeza,” katanya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Jelutong daripada DAP, RSN Rayer, secara terbuka mempersoalkan komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri dalam memerangi rasuah apabila mendakwa wujud layanan berbeza terhadap pemimpin politik tertentu.

Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Rayer membangkitkan persoalan mengapa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi masih belum didakwa semula berhubung 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat