Tiga Hari Berturut-Turut Kes Sembuh Melebihi Kes Baru Covid – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jumlah kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia terus melebihi angka kes baharu untuk tiga hari berturut-turut apabila sejumlah 24,813 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Semalam, Malaysia mencatat 20,980 kes sembuh, lebih tinggi daripada kes baharu berjumlah 19,198 kes, manakala 21,771 kes sembuh direkodkan pada Sabtu berbanding 19,550 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif individu pulih daripada wabak berkenaan kini 1,746,526.

Beliau berkata terdapat 1,312 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 967 kes disahkan COVID-19 manakala 345 kes disyaki/kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 698 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 444 kes disahkan COVID-19 sementara 254 kes disyaki/kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada 16,073 kes harian dilaporkan hari ini, 233 kes atau 1.5 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala baki 15,840 kes atau 98.5 peratus adalah kategori satu dan dua.

Daripada jumlah kes baharu itu, beliau berkata 21 adalah kes import melibatkan lapan warganegara dan 13 rakyat asing manakala 16,052 kes membabitkan penularan dalam negara iaitu membabitkan 14,352 warganegara dan 1,700 rakyat asing.

Katanya sebanyak 32 kluster juga dikesan dalam tempoh 24 jam lepas melibatkan 16 kluster di tempat kerja, 14 kluster komuniti serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan tinggi.

Mengenai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt), Dr Noor Hisham berkata Rt di Malaysia semalam adalah 0.98 dengan semua negeri mencatat Rt melebihi 1.0 kecuali Kedah, Sabah, Melaka, Putrajaya, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan.

Sarawak adalah negeri paling tinggi mencatatkan nilai Rt iaitu 1.18 diikuti Terengganu (1.08), Johor (1.04), Perak dan Perlis (1.03), Kelantan dan Pulau Pinang (1.02) dan Pahang (1.0). – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,561FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat