KUALA LUMPUR – Selepas ini, kuasa yang ada pada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan dihadkan melalui Rang Undang-Undang (RUU) MARA 2026 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat di penghujung tahuN ini.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dalam akta baharu itu nanti 80 peratus kandungannya akan memberi fokus pada bahagian tadbir urus korporat.
Ia juga akan termasuk hal pengasingan kuasa yang jelas antara lembaga pengarah dan pengurusan, kata beliau.
Di bawah RUU itu, pengerusi hanya bertanggungjawab mempengerusikan lembaga pengarah atau majlis serta menentukan perkara berkaitan dasar yang berbeza dengan Akta MARA 1966 yang memberi kuasa besar kepada pengerusi sehingga melangkaui kuasa eksekutif pengurusan.
“Boleh dikatakan akta baharu yang dicadangkan ini, 80 peratus adalah berkenaan dengan tadbir urus korporat MARA yang tidak pernah dibincangkan di era 60-an,” katanya.
Dr Asyraf mengesahkan RUU berkenaan telah memperopleh kelulusan dasar Kabinet minggu lepas dan akan menggantikan Akta MARA 1966 yang sudah mencecah 60 tahun.
Menurut beliau, akta baharu itu juga akan menetapkan syarat kelayakan untuk pelantikan Ahli Lembaga serta mengehadkan tempoh perkhidmatan mereka.
“Tatakelola kewangan dan perolehan juga akan diperketat, selain mewajibkan penubuhan Jawatankuasa Audit, Jawatankuasa Pelaburan, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus serta Jawatankuasa Risiko Mara.
“Jawatankuasa Syariah pula akan diwujudkan buat pertama kali bagi memastikan operasi Mara mematuhi prinsip syariah,” jelasnya.
Melihat kepada tindakan pembaharuan yang diambil sejak beliau dilantik sebagai Pengerusi MARA pada 10 Mac 2023, beliau berkata satu pasukan khas diketuai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim untuk menilai aspek tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan MARA.
Keputusan itu dibuat susulan beberapa isu sebelum ini seperti pembelian aset di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2014 yang menyebabkan MARA Inc rugi sehingga RM286.30 juta bagi tempoh 2012 hingga 2022.
Turut dibangkitkan ialah kontroversi penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW) sekitar 2016 hingga 2017, kerugian jutaan ringgit daripada beberapa projek, kelemahan kutipan hutang pinjaman serta isu kartel yang didakwa menguasai tender perolehan MARA termasuk kontrak makanan bernilai puluhan juta ringgit.
Beberapa langkah lain telah dilaksanakan termasuk memperketat disiplin kewangan, menjalankan audit forensik terhadap anak syarikat, menyelaraskan Audit Dalaman MARA dan MARA Corp secara berpusat serta membuat rombakan bahagian perolehan.
Dr Asyraf Wajdi berkata, perubahan struktur menerusi akta baharu itu diperlukan bagi mengelakkan berulangnya salah guna kuasa, penyelewengan, ketirisan dan pembaziran yang boleh menjejaskan Mara.
“Semua ini dilaksanakan agar tiada lagi kes dan insiden yang terkait dengan salah guna kuasa, kelemahan tadbir urus, penyelewengan, penyimpangan, juga ketirisan mahupun keborosan yang boleh berlaku dan berisiko mengakibatkan kemudaratan besar kepada institusi terbesar yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera negara ini,” ujarnya.



