Waytha Moorthy saman Anwar, dakwa pelantikan PM tak sah

KUALA LUMPUR – Peguam P Waytha Moorthy memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.

Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil pada Selasa melalui Tetuan Karthig Shan dan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.

Memetik laporan MalaysiaGazette, Waytha Moorthy yang juga Presiden Parti Kemajuan Malaysia menyatakan, Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi setahun, yang menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Waytha Moorthy selaku plaintif turut memohon perisytiharan bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya, bekas senator itu menyatakan, Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 berikutan kemenangannya pada PRU15 pada 19 November tahun sama.

Bekas menteri itu juga menyatakan, sebelum PRU15, defendan telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang serius dan dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.

Defendan kemudiannya telah diberikan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018, berikutan mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada tarikh yang sama.

Ujar Waytha Moorthy, menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, Anwar hilang kelayakan daripada menjadi ahli Dewan Rakyat kerana telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi satu tahun.

“Pada masa material pencalonan dan pemilihan, tempoh kehilangan kelayakan selama lima tahun yang ditetapkan di bawah Perkara 48(1)(e), dibaca bersama Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan masih berkuat kuasa.

“Perkara 48(3) seterusnya memperuntukkan bahawa kehilangan kelayakan sedemikian boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan hendaklah, jika tidak dibatalkan, diteruskan selama tempoh lima tahun dari tarikh pembebasan.

“Dalam hal ini, tiada pembatalan secara nyata terhadap kehilangan kelayakan dilakukan Seri Paduka mengikut Perkara 48(3), dan ini menyebabkan defendan tidak layak bertanding pada PRU15 sebagai Ahli Parlimen.

“Oleh kerana YDPA tidak secara nyata membatalkan kehilangan kelayakan defendan di bawah Perkara 48(3), kehilangan kelayakan itu kekal berkuat kuasa sehingga 15 Mei 2023,” ujarnya.

Oleh yang demikian, Waytha Moorthy menyatakan, Anwar bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Tambun pada 19 November 2022, walhal tempoh kehilangan kelayakannya masih berkuatkuasa selama lima tahun (16 Mei 2018 hingga 15 Mei 2023).

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat