KUALA LUMPUR – Ruang digital akan menjadi lebih selamat dan bebas daripada ‘spam’ dan penipuan selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berusaha ke arah menyediakan Kerangka Peraturan bagi Pesanan Elektronik Komersial Tidak Diingini (UCEM) yang lazimnya dikenali sebagai spam.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Saaidal Razalli Azzuhri berkata, dengan adanya peraturan jelas dan penguatkuasaan ketat, kita boleh pastikan pemasaran digital lebih bertanggungjawab dan ruang digital jadi lebih selamat, bebas daripada ‘spam’ dan penipuan.
“Cadangan MCMC ni memang langkah baik untuk lindungi orang ramai daripada mesej tak diingini atau mengelirukan, bukan setakat melalui e-mel, tapi juga SMS, aplikasi mesej, dan pelbagai saluran digital lain.
“Banyak kes orang rugi bukan saja duit, tapi juga maklumat peribadi, akaun media sosial, malah keyakinan diri, sebab jadi mangsa scam.
“Dengan adanya peraturan jelas dan penguatkuasaan ketat, kita boleh pastikan pemasaran digital lebih bertanggungjawab dan ruang digital jadi lebih selamat, bebas daripada ‘spam’ dan penipuan.
“Saya secara peribadi juga sangat bersimpati dengan kes penipuan dalam talian yang melibatkan orang awam sekarang.
“Itu belum fitnah dan buli siber, saya sangat sokong langkah MCMC ini untuk untuk bendung,” katanya kepada SuaraTV pada Rabu.
MCMC kini sedang memulakan rundingan awam selama dua minggu bermula hari ini bagi mendapatkan maklum balas berhubung cadangan Kerangka Peraturan bagi Pesanan Elektronik Komersial Tidak Diingini (UCEM) atau lebih dikenali sebagai ‘spam’.
Rundingan ini dibuat selaras dengan Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang diperkenalkan melalui pindaan perundangan dan diwartakan pada Februari 2025.
Menurut MCMC, kerangka tersebut bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, menggalakkan amalan pemasaran digital yang bertanggungjawab serta memupuk ekosistem digital yang lebih selamat dan dipercayai. Selaras dengan peruntukan baharu ini, MCMC turut merangka perundangan subsidiari untuk mewujudkan struktur kawal selia yang jelas, utuh dan berkesan bagi menangani peningkatan penghantaran UCEM.
Peraturan ini meningkatkan keselamatan digital dan kepercayaan pengguna dengan memberi mereka lebih kawalan ke atas data peribadi.
Pengirim perlu mendapatkan kebenaran, mengenal pasti diri dengan jelas, dan menyediakan pilihan keluar yang mudah.
Ia juga mengharamkan penggunaan alat spam serta menetapkan peraturan jelas untuk menghalang penipuan dan mesej mengelirukan, membantu pengguna berasa lebih selamat dan membolehkan perniagaan berkomunikasi dengan lebih bertanggungjawab.-SuaraTV



